China laksana hukuman mati ke atas empat warga Kanada

China laksana hukuman mati ke atas empat warga Kanada

MELANIE JOY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OTTAWA: Kanada mengesahkan China melaksanakan hukuman mati ke atas empat warganegaranya sejak awal tahun ini meskipun rayuan rasmi untuk pengampunan sudah dikemukakan.

Menteri Luar Kanada, Melanie Joly berkata, Ottawa mengecam sekeras-kerasnya pelaksanaan hukuman itu dan menegaskan bahawa pihaknya telah berusaha meminta pertimbangan daripada Beijing.

“Kami mengecam sekeras-kerasnya hukuman mati yang telah dilaksanakan ke atas rakyat Kanada di China,” kata Joly kepada pemberita di Ottawa pada Rabu.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai kes berkenaan atas permintaan keluarga mangsa yang mahu menjaga privasi.

China mempertahankan hukuman mati terhadap rakyat Kanada tersebut yang telah disabitkan dengan kesalahan berkaitan dadah di dalam satu kenyataan yang dihantar kepada akhbar Globe and Mail.

“Jenayah berkaitan dadah adalah jenayah serius yang diakui di peringkat global dan amat berbahaya kepada masyarakat.

“China sentiasa mengenakan hukuman berat terhadap jenayah berkaitan dadah dan mengekalkan sikap ‘toleransi sifar’ terhadap masalah dadah,” menurut kenyataan itu.

Joly berkata, beliau dan bekas perdana menteri, Justin Trudeau, yang meninggalkan jawatan minggu lalu telah memohon pengampunan daripada China.

China mengklasifikasikan statistik hukuman mati sebagai rahsia negara walaupun kumpulan hak asasi seperti Amnesty International percaya bahawa beribu-ribu orang dihukum mati di negara itu setiap tahun.

Hubungan antara Beijing dan Ottawa tegang sejak beberapa tahun lalu.

Penahanan seorang eksekutif kanan telekomunikasi China atas waran Amerika Syarikat (AS) di Vancouver pada Disember 2018 dan tindakan balas Beijing menahan dua rakyat Kanada atas tuduhan perisikan telah merosakkan hubungan kedua-dua negara.

Hubungan semakin tegang dengan tuduhan campur tangan China dalam pilihan raya Kanada pada 2019 dan 2021 namun dinafikan oleh Beijing.

Pada 2023, Joly mengusir seorang diplomat China serta keluarganya yang dituduh menyasarkan seorang ahli Parlimen pembangkang Kanada yang sering mengkritik Parti Komunis yang memerintah di Beijing.

Ottawa juga telah mengkritik tindakan keras keselamatan di Hong Kong dan layanan China terhadap minoriti Islam Uyghur.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN