BANGKOK: Seorang bekas pegawai polis Thailand yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana kesalahan membunuh ditemukan mati di dalam selnya dan siasatan mengenai kematiannya telah dimulakan, menurut pegawai penjara hari ini.
Thitisan Utthanaphon, yang digelar ‘Joe Ferrari’ kerana koleksi kereta mewah dan gaya hidup mewahnya, didapati bersalah atas kesalahan membunuh pada 2022 kerana menyeksa dengan kejam seorang suspek hingga mati semasa sesi soal siasat.
Kes yang mendapat perhatian ramai ini menimbulkan kemarahan orang awam dan mendedahkan isu keganasan serta rasuah dalam kalangan polis di negara itu.
Thitisan ditemui tidak sedarkan diri di dalam selnya di sebuah penjara Bangkok malam tadi, menurut kenyataan daripada Jabatan Penjara Thailand.
“Pegawai penjara telah dimaklumkan bahawa seorang banduan bernama Thitisan Utthanaphon telah ditemukan mati dalam keadaan duduk bersandar di pintu sel dengan jari lebam dan tiada denyutan nadi,” menurut kenyataan tersebut.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan tiada sesiapa yang memasuki sel itu, namun autopsi sedang dijalankan untuk menentukan punca kematian.
Tambah kenyatan itu, Thitisan, 44, yang telah berada di penjara selama lebih tiga tahun didiagnosis mengalami gangguan keresahan dan dikhuatiri akan dicederakan oleh banduan lain.
Lelaki itu kali terakhir menerima rawatan psikiatri pada Februari dan dijadualkan untuk sesi rawatan seterusnya pada April.
Bekas pegawai polis ini menjadi tumpuan pada 2021 selepas rakaman video tular menunjukkan Thitisan dan enam pegawai lain membungkus kepala Jirapong Thanapat, 24, dengan tujuh beg plastik semasa soal siasat yang mengakibatkan kematian mangsa selain cuba memeras wang berjumlah AS$60,000 (RM264,832).
Selepas rakaman itu tersebar, Thitisan yang merupakan bekas ketua daerah di wilayah utara Nakhon Sawan menyerah diri kepada polis ketika serbuan di rumah agamnya di Bangkok dan menemui garaj penuh dengan kereta mewah. — AFP









