AS sekat akses imej satelit kepada Kyiv

AS sekat akses imej satelit kepada Kyiv

SEORANG anggota penyelamat Ukraine memadamkan kebakaran di sebuah bangunan yang musnah selepas serangan dron di Bohodukhiv, wilayah Kharkiv.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Washington menggantung sementara akses Ukraine kepada imej satelit komersial yang dibeli kerajaan Amerika Syarikat (AS) dalam langkah terbaharu Presiden, Donald Trump untuk mengheret Kyiv ke meja rundingan.

Perkara itu diumumkan jurucakap Agensi Perisikan Geospatial Kebangsaan semalam.

Maxar, satu daripada syarikat yang diberi kontrak oleh program AS bagi menyediakan pengimejan satelit kepada Kyiv turut  mengesahkan penggantungan itu.

Penggantungan akses Ukraine kepada imej satelit yang digunakan oleh tenteranya untuk mengesan pergerakan tentera Russia dan menilai kerosakan selepas serangan dibuat sejurus Washington menghentikan bantuan penting lain untuk Kyiv.

Tindakan terbaharu itu berlaku selepas Trump dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky bertelagah di Pejabat Oval minngu lalu diikuti penggantungan bantuan ketenteraan penting AS kepada Kyiv.

Rabu lalu, Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), John Ratcliffe turut mengesahkan bahawa perkongsian perisikan juga telah dibekukan ketika Ukraine berusaha menghalang pencerobohan Russia yang semakin sengit.

Bagi angkatan tentera Ukraine, perisikan AS adalah sama pentingnya dengan bekalan ketenteraan dalam pertempuran berdarah menentang tentera Russia tetapi perkongsian rapat antara kedua-dua negara lenyap sejak Trump mengambil alih jawatan pada Januari.

Dalam pada itu, serangan Russia mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang di timur Ukraine semalam.

Menurut Ketua Tentera Wilayah Kharkiv, Oleg Synegubov, serangan itu melanda pusat Dobropillia di wilayah Donetsk Ukraine lewat Jumaat, membunuh 11 orang dan mencederakan 30 yang lain.

Jelasnya, serangan dron berasingan turut menyebabkan seorang maut dan tujuh lagi cedera awal Sabtu di bandar Bogodukhiv.

Ribuan tentera Ukraine yang menyerbu wilayah Kursk di Russia pada musim panas lalu dalam satu serangan mengejut juga kini hampir dikepung keseluruhannya oleh pasukan Russia.

Kawalan Ukraine di Kursk merosot secara mendadak sejak tiga hari lalu, selepas tentera Russia merampas semula wilayah sebagai sebahagian daripada serangan balas yang semakin besar.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN