BAITULMUQADDIS: Tentera Israel telah membunuh 16 kanak-kanak Palestin di Tebing Barat sejak awal 2025 walaupun mereka tidak menimbulkan ancaman kepada tentera.
Menurut pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa Defense for Children International, kegagalan tentera Israel dipertanggungjawabkan atas pelanggaran hak terhadap rakyat Palestin secara efektif telah memberi rejim itu ‘lampu hijau’ untuk meneruskan pembunuhan.
Pengarah program, Ayed Abu Eqtaish berkata, tentera di tahap ‘selesa’ hingga bebas melepaskan tembakan terhadap kanak-kanak Palestin, menyebabkan jumlah yang terbunuh atau cedera meningkat.
Beliau merujuk kes Ayman Al-Haimouni, seorang kanak-kanak Palestin berusia 13 tahun yang terbunuh pada 21 Februari di bandar Hebron, selatan Tebing Barat.
“Kanak-kanak itu tidak menimbulkan sebarang ancaman kepada tentera pada saat dia ditembak dan dibunuh.
“Tentera rejim berulang kali dan sengaja menghalang ambulans membawa mangsa tercedera dalam kejadian terkini, malah menyerang keluarga mereka dan menjadikan tindakan ini sebagai amalan ketenteraan yang sistematik,” tegasnya.
Pada 10 Februari, akhbar harian Israel Haaretz melaporkan tentera Israel telah memperluas peraturan pertempuran di Tebing Barat menyebabkan peningkatan kematian orang awam Palestin.
Akhbar itu memetik komander unit tentera Israel melaporkan, Komando Pusat tentera Israel memutuskan untuk menggunakan peraturan pertempuran sama di Tebing Barat seperti di Semenanjung Gaza yang membenarkan pembunuhan mana-mana rakyat Palestin tidak bersenjata, sama ada mereka disyaki melakukan sesuatu atau tidak.
Laporan itu menjelaskan arahan tersebut memudahkan askar untuk melepaskan tembakan atas perintah Komander Komando Pusat, Avi Blot.
Memetik askar Israel yang terlibat dalam operasi ketenteraan di Tebing Barat, akhbar itu berkata, Blot membenarkan mereka menembak dengan niat membunuh rakyat Palestin tanpa perlu menangkap mereka.
Askar-askar itu menjelaskan bahawa jumlah kematian tinggi rakyat Palestin yang tidak bersenjata di Tebing Barat baru-baru ini adalah luar biasa dan mengaitkannya dengan arahan Blot yang membenarkan mereka menembak mana-mana rakyat Palestin yang disyaki meletakkan peranti letupan atau membuat gangguan.
Tentera Israel telah menjalankan operasi di utara Tebing Barat sejak 21 Januari, membunuh sekurang-kurangnya 64 orang dan menyebabkan ribuan kehilangan tempat tinggal.
Pihak berkuasa Palestin (PA) memberi amaran serangan ketenteraan berterusan ini adalah sebahagian daripada rancangan lebih besar oleh pentadbiran Benjamin Netanyahu untuk menakluk Tebing Barat dan mengisytiharkan kedaulatan ke atasnya, sekaligus menandakan berakhirnya penyelesaian dua negara secara rasmi.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, sekurang-kurangnya 927 rakyat Palestin terbunuh dan hampir 7,000 cedera dalam serangan tentera Israel dan peneroka haram sejak 7 Oktober 2023.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Julai lalu mengisytiharkan pendudukan Israel ke atas wilayah Palestin yang berterusan adalah tidak sah dan menuntut pemindahan semua penempatan haram di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur. -AGENSI










