10 maut banjir besar badai Argentina

10 maut banjir besar badai Argentina

PULUHAN kenderaan dihanyutkan banjir besar di bandar Bahia Blanca di selatan ibu negara Argentina.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUENOS AIRES: Banjir besar yang melanda bandar pelabuhan Bahia Blanca di Argentina meragut sekurang-kurangnya 10 nyawa dan memaksa ratusan penduduk dipindahkan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Hujan tanpa henti selama lapan jam menyebabkan bandar dihuni 350,000 orang itu hampir tenggelam sepenuhnya, memusnahkan jalan raya dan mencetus gangguan bekalan elektrik.

Air banjir yang memenuhi  wad unit rawatan rapi Hospital Jose Penna, satu daripada hospital utama di Bahia Blanca, memaksa pemindahan kecemasan pesakit dan kakitangan. 

Gambar-gambar yang ditayangkan di televisyen menunjukkan kakitangan perubatan menyelamatkan bayi-bayi dari unit neonatal hospital, manakala tentera dikerahkan untuk membantu usaha menyelamat.

Kira-kira 1,000 orang telah dipindahkan ke tempat yang selamat di bandar yang terletak kira-kira 600km di selatan ibu kota Buenos Aires itu.

Pegawai perbandaran mengesahkan 10 orang maut setakat ini, namun jumlah korban dikhuatiri meningkat.

Menurut Menteri Keselamatan Wilayah Buenos Aires, Javier Alonso, bandar itu menerima hujan lebih daripada 400 milimeter (mm) dalam masa hanya beberapa jam, bersamaan jumlah yang biasanya diterima dalam setahun.

“Ribut terbesar di Bahia Blanca berlaku pada 1930, dengan 175mm hujan. Kali ini hampir tiga kali ganda lebih besar,” katanya.

Lapangan terbang Bahia Blanca ditutup sehingga notis selanjutnya dan pihak berkuasa memotong sebahagian bekalan elektrik untuk mengurangkan risiko renjatan elektrik.

Kerajaan wilayah itu berkata, mereka sedang menghantar helikopter, kanu, ambulans dan trak yang membawa makanan, air, serta peralatan ke bandar yang dilanda bencana itu.

Pasukan pengawal pantai turut membantu operasi menyelamat dengan menggunakan bot.

“Hujan turun dengan lebat dan tiba-tiba kami lihat jalan dipenuhi air. Kira-kira satu setengah meter air memasuki rumah saya,” kata Flavia Viera Romero, yang menyelamatkan anak-anaknya daripada banjir itu.-AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN