Zelensky, Trump bakal bertemu di Washington

Zelensky, Trump bakal bertemu di Washington

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dijadualkan bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Washington bagi menandatangani perjanjian berkaitan perkongsian sumber mineral Ukraine.

Zelensky menyifatkan perjanjian dua hala itu sebagai langkah awal dan berharap untuk mencapai persetujuan lebih komprehensif termasuk jaminan keselamatan daripada AS bagi mengekang pencerobohan baharu Russia.

Namun, Trump menegaskan AS tidak akan memberikan jaminan keselamatan melampaui had yang munasabah dan berpendapat tanggungjawab tersebut sepatutnya digalas oleh negara-negara Eropah.

Beliau turut memberi bayangan Ukraine tidak akan diterima sebagai anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), satu impian yang lama diidamkan oleh Zelensky.

Berucap dalam mesyuarat Kabinet di Washington, Trump berkata, kehadiran pekerja AS yang menjalankan aktiviti perlombongan logam nadir bumi di Ukraine akan memberikan ‘keselamatan automatik’ kepada negara tersebut.

“Ukraine sepatutnya melupakan hasrat untuk menyertai NATO,” kata Trump sambil mengulangi dakwaan Russia bahawa isu tersebut menjadi punca utama konflik.

Trump juga membayangkan gencatan senjata antara Ukraine dan Russia bakal dicapai tidak lama lagi.

“Kami akan mengusahakan perjanjian antara Russia dan Ukraine bagi menghentikan pertumpahan darah,” katanya.

Media melaporkan Ukraine pada awalnya menolak permintaan AS untuk memperoleh hasil mineral bernilai AS$500 bilion (RM2.2 trilion), namun tuntutan tersebut kini telah digugurkan.

Trump memuji perjanjian tersebut sebagai peluang bagi AS mendapat pulangan daripada bantuan yang disalurkan kepada Ukraine, manakala Zelensky menyifatkannya sebagai ‘kerangka perjanjian’ yang boleh membawa kepada persetujuan lebih besar pada masa hadapan.

Ukraine diketahui kaya dengan sumber mineral dan dianggarkan memiliki lima peratus daripada bahan mentah kritikal dunia, namun sebahagian besarnya kini berada di bawah kawalan Russia.

Menteri Ekonomi Ukraine, Yulia Svyrydenko menyatakan sumber bernilai AS$350 bilion (RM1.5 trilion) kini terletak di wilayah yang diduduki Rusia.

Selain itu, isu periuk api yang belum meletup di wilayah konflik turut menjadi cabaran besar bagi usaha perlombongan dan dianggarkan satu perempat daripada kawasan Ukraine tercemar dengan periuk api, terutamanya di bahagian timur negara itu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN