Vietnam lulus projek kereta api terus ke China

Vietnam lulus projek kereta api terus ke China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI: Vietnam meluluskan projek kereta api untuk menghubungkan negara itu terus ke China, satu langkah ke hadapan dalam membentuk rangkaian pengangkutan lengkap ‘Pan-Asia’

Rabu lalu, Perhimpunan Kebangsaan Vietnam meluluskan pelaburan untuk projek kereta api Lao Cai-Hanoi-Hai Phong bernilai AS$8.37 billion (RM37 billion).

Projek itu melibatkan pembinaan landasan dari dari bandar pelabuhan utara Vietnam, Hai Phong ke Lao Cai, yang bersempadan dengan Wilayah Yunnan di barat daya China.

Pembinaan landasan kereta api membawa penumpang dan kargo itu dijadualkan dimulakan pada penghujung tahun ini dan dijangka siap antara 2026 atau 2030.

Laluan utama projek kereta api Lao Cai-Hanoi-Hai Phong melibatkan jarak kira-kira 390.9 kilometer, dengan tiga laluan cawangan sekitar 27.9 kilometer.

Kereta api itu akan melalui tujuh wilayah dan dua bandar iaitu Lao Cai, Yen Bai, Phu Tho, Vinh Phuc, Hanoi, Bac Ninh, Hung Yen, Hai Duong dan Hai Phong, menurut Agensi Berita Xinhua.

“Setelah siap, kereta api itu dijangka memberi perkhidmatan kepada 20 peratus penduduk Vietnam, 25.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 25.1 peratus kawasan perindustriannya.

“Ia juga akan menyediakan penyelesaian pengangkutan kepada eksport barangan dari Vietnam dan import bahan mentah, meningkatkan kecekapan logistik rangkaian kereta api Vietnam, selain memacu pembangunan ekonomi dan sosial,” lapor media tempatan.

Menurut Pengarah Pusat Pengajian Asia Tenggara di Akademi Sains Sosial China, Xu Liping, apabila kereta api itu beroperasi, ia akan meningkatkan perdagangan antara China dan Vietnam dengan ketara.

“Barangan Vietnam boleh diangkut ke Eropah dengan lebih cepat dan menjimatkan kos melalui China, selepas kereta api itu dihubungkan dengan rangkaian kereta api barangan China-Eropah,” jelasnya.

Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun berkata, Beijing dan Hanoi bersetuju untuk mempercepatkan kajian kebolehlaksanaan landasan standard di kawasan pembinaan yang dirancang.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk memajukan kerja membina titik sambungan kereta api standard antara Hekou di wilayah Yunnan di barat daya China dan Lao Cai di Vietnam.

“Kelulusan projek kereta api adalah langkah penting dalam mengukuhkan ketersambungan antara China dan rantau Asia Tenggara dan juga meningkatkan aliran perdagangan dan pertukaran rentas sempadan.

“Ini bermakna Keretapi Pan-Asia secara beransur-ansur menjadi kenyataan, dengan Kereta Api China-Vietnam dan Kereta Api China-Thailand akan disambungkan pada masa hadapan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN