WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memaklumkan rundingan untuk menamatkan perang di Ukraine akan bermula dalam tempoh terdekat selepas mengadakan perbualan mengenai isu itu melalui panggilan telefon hari ini.
Panggilan tersebut dibuat selepas Setiausaha Pertahanan Trump, Pete Hegseth menyatakan Kyiv perlu melepaskan matlamatnya untuk menyertai pakatan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta meninggalkan tuntutan terhadap semua wilayah yang dirampas oleh Russia, menandakan perubahan drastik dalam pendekatan Washington terhadap konflik itu.
Selepas bercakap dengan Presiden Russia, Vladimir Putin selama lebih sejam, Trump berkata, pemimpin yang melancarkan pencerobohan besar-besaran terhadap Ukraine itu mahu perang tersebut ditamatkan, malah mereka turut berbincang untuk memeterai perjanjian gencatan senjata dalam masa terdekat.
“Putin mahu perang ini berakhir. Beliau tidak mahu menamatkannya dan kembali berperang enam bulan kemudian.
“Saya rasa kita sedang menuju ke arah perdamaian. Putin mahukan perdamaian, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mahukan perdamaian dan saya juga mahukan perdamaian. Saya hanya mahu melihat pertumpahan darah ini dihentikan,” katanya kepada pemberita di Pejabat Oval.
Setelah sekian lama, Trump akhirnya berkata, beliau akan segera menamatkan perang di Ukraine tanpa memperincikan bagaimana ia akan dicapai.
Sebelum itu, Kremlin memaklumkan, Putin dan Trump bersetuju untuk bertemu dan menjemput Presiden AS itu ke Moscow.
Bagaimanapun, Trump berkata, pertemuan pertama mereka mungkin akan berlangsung di Arab Saudi.
Menerusi hantaran di platform media sosialnya, Trump mengumumkan, Setiausaha Negara, Marco Rubio; Pengarah CIA, John Ratcliffe; Penasihat Keselamatan Negara, Michael Waltz dan Utusan Asia Barat, Steve Witkoff akan mengetuai rundingan bagi menamatkan perang tersebut.
Trump dan Zelenskyy turut mengadakan perbincangan singkat selama hampir sejam menerusi panggilan telefon sejurus selepas perbualan dengan Putin ditamatkan.
“Saya telah mengadakan perbualan yang bermakna dengan @POTUS. Kami bercakap tentang peluang untuk mencapai perdamaian, membincangkan kesediaan untuk bekerjasama serta keupayaan teknologi Ukraine termasuk dron dan industri maju yang lain,” tulis Zelenskyy di laman X.
Bekas Presiden AS, Joe Biden menyalurkan bantuan ketenteraan dan kewangan bernilai berbilion dolar kepada Kyiv dan tidak berhubung secara langsung dengan Putin selepas pencerobohan Russia.
Russia kini menduduki kira-kira satu perlima wilayah Ukraine dan menuntut Kyiv menyerahkan lebih banyak wilayah serta kekal berkecuali di bawah sebarang perjanjian damai.
Sebaliknya, Ukraine menuntut Russia berundur dari wilayah yang ditakluki serta menerima keanggotaan NATO atau jaminan keselamatan setara bagi mengelakkan serangan Moscow berulang.
Semalam, kuasa Eropah termasuk Britain, Perancis dan Jerman menegaskan, mereka perlu menjadi sebahagian daripada sebarang rundingan masa hadapan mengenai nasib Ukraine.
Negara-negara tersebut turut menekankan bahawa hanya perjanjian yang adil dengan jaminan keselamatan akan memastikan perdamaian berkekalan.
Selain itu, mereka juga menyatakan kesediaan untuk meningkatkan sokongan terhadap Ukraine agar negara itu berada dalam kedudukan yang lebih kukuh.-AGENSI










