WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan rancangannya untuk menggantikan program visa pelabur asing dengan skim baharu dipanggil ‘kad emas’ yang boleh dibeli dengan harga AS$5 juta (RM22.17 juta) sebagai laluan untuk mendapat kerakyatan di negara itu.
Trump memaklumkan akan mewujudkan pelan baharu itu bagi menggantikan program visa EB-5 yang memberikan kad hijau kepada warga asing yang berjanji untuk melabur dalam perniagaan dan mencipta peluang pekerjaan di AS.
“Kami akan menjual kad emas. Kami akan meletakkan harga pada kad itu kira-kira AS$5 juta.
“Ia akan memberi mereka keistimewaan kad hijau serta ia akan menjadi laluan kepada kewarganegaraan AS. Ramai pelabur kaya akan datang ke negara kita dengan membeli kad ini,” kata Trump, sambil menambah butiran mengenai skim itu akan dikeluarkan dalam tempoh dua minggu.
Trump turut memberitahu kemungkinan oligarki Russia layak untuk mendapatkan kad emas itu apabila ditanya oleh seorang wartawan mengenainya.
“Ya, mungkin. Hei, saya mengenali beberapa oligarki Russia yang merupakan orang yang sangat baik,” katanya.
Program EB-5 diwujudkan oleh Kongres pada tahun 1990 bagi merangsang ekonomi AS melalui penciptaan pekerjaan dan pelaburan modal oleh pelabur asing itu.
Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick turut mengukuhkan pendirian Trump, memanggil program EB-5 sebagai ketinggalan zaman.
“Ia penuh dengan perkara karut, kepura-puraan dan penipuan. Ia juga adalah satu cara untuk mendapatkan kad hijau dengan harga yang rendah.
“Presiden memutuskan sudah tiba masanya untuk menamatkan program itu dan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik jadi kami akan memperkenalkan kad emas Trump,” kata Lutnick.-AFP











