Tiga individu dituduh curi tandas emas bernilai RM26.7 juta

Tiga individu dituduh curi tandas emas bernilai RM26.7 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Tandas bersalut emas 18 karat bernilai 4.8 juta pound (RM26.7 juta) dicuri dalam rompakan di Istana Blenheim, England, yang merupakan tempat kelahiran bekas Perdana Menteri Britain, Winston Churchill.

Menurut pihak pendakwaan di Mahkamah Crown Oxford semalam, tandas seberat 98 kilogram itu dicuri dalam masa kurang lima minit pada awal pagi 14 September 2019.

Pendakwa raya, Julian Christopher memaklumkan kepada hakim, tiga suspek kini dibicarakan berhubung kes tersebut di mana seorang terlibat secara langsung dalam rompakan, manakala dua lagi membantu menjual hasil curi.

“Tandas itu dipercayai dipotong dan dijual dalam bentuk ketulan emas,” katanya.

Seorang daripada tertuduh, Michael Jones didakwa melakukan tinjauan di Istana Blenheim sebanyak dua kali sebelum kejadian, termasuk mengambil gambar tingkap, yang digunakan untuk memecah masuk ke dalam rumah agam itu.

“Dia juga mengambil gambar di dalam bilik air, termasuk kunci di pintu tandas. Tiada keraguan bahawa dia menjalankan pengintipan bagi tujuan rompakan,” kata Christopher.

Pendakwaan turut mendedahkan Jones dipercayai antara lima lelaki yang merempuh pagar kayu istana menggunakan dua kenderaan curi, iaitu sebuah trak Isuzu dan VW Golf sebelum memecahkan tingkap dan melarikan tandas emas tersebut.

Tandas berkenaan dicabut dari sistem paip, menyebabkan kebocoran air sehingga merosakkan sebahagian besar bangunan bersejarah abad ke-18 yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Jones didakwa bersekongkol dengan James Sheen, seorang kontraktor pembinaan yang mengatur urusan menjual emas curi itu.

Sheen, 40, sebelum ini mengaku bersalah atas tuduhan pecah masuk, bersubahat dan memindahkan harta jenayah.

Sheen dipercayai berusaha menjual emas itu kepada Fred Doe dan Bora Guccuk, dua lagi tertuduh yang kini menghadapi pertuduhan bersubahat memindahkan harta jenayah.

Bagaimanapun, kesemua mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan.

Perbicaraan kes itu masih berlangsung.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN