WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani rancangan untuk melaksanakan tarif balas bagi setiap rakan perdagangan yang mengenakan cukai ke atas import negara itu.
Rancangan terbaharu itu berkemungkinan mencetuskan konfrontasi ekonomi yang meluas dengan sekutu dan pesaing, ketika Trump didakwa berusaha menghapuskan ketidakseimbangan perdagangan.
RISIKO INFLASI MENINGKAT
Bercakap di Pejabat Oval Rumah Putih kelmarin, beliau menyifatkan tarif tersebut sebagai timbal balik, di mana AS secara automatik akan menaikkan cukai importnya sendiri agar sepadan dengan kadar sedia ada di negara lain.
“Demi keadilan, saya memutuskan untuk mengenakan tarif timbal balik, bermaksud apa sahaja yang negara lain kenakan ke atas Amerika, kita akan kenakan kepada mereka. Tidak lebih, tidak kurang.
“Dalam hampir semua kes, mereka mengenakan caj yang jauh lebih tinggi kepada kita berbanding apa yang dikenakan kepada mereka. Tetapi, zaman itu sudah berakhir,” katanya.
Pentadbiran Trump menegaskan, tarif baharu itu akan menyamakan keupayaan pengeluar AS dan asing untuk bersaing, walaupun di bawah undang-undang semasa.
Cukai baharu itu berkemungkinan akan ditanggung oleh pengguna dan perniagaan AS, sama ada secara langsung atau melalui kenaikan harga.
Politik tarif boleh menjadi ‘senjata makan tuan’ kepada Trump jika agendanya menyebabkan inflasi meningkat dan pertumbuhan ekonomi merosot.
Ia juga menjadi pertaruhan berisiko tinggi bagi seorang presiden yang ingin mengisytiharkan kuasanya ke atas ekonomi AS.
Kenaikan tarif itu akan disesuaikan mengikut setiap negara, dengan matlamat sebahagiannya untuk memulakan rundingan perdagangan baharu.
Namun, negara lain mungkin juga merasakan keperluan untuk membalas dengan kenaikan tarif ke atas barangan AS.
Oleh itu, Trump mungkin perlu mencari solusi untuk meyakinkan pengguna dan perniagaan bagi mengatasi sebarang ketidakpastian yang berpunca daripada tarifnya.
Walaupun pakar menyuarakan kebimbangan bahawa tarif baharu boleh mencetuskan perang perdagangan global yang menyebabkan kenaikan harga mendadak, Trump sejak sekian lama melihat sektor itu sebagai perkara ‘untung dan rugi’.
Bahkan, beliau juga berpendapat AS diperlakukan secara ‘sangat tidak adil’ oleh sekutunya di luar negara.
Pelaksanaan tarif baharu dijangka tidak dikenakan serta-merta kerana ia memerlukan kenaikan cukai yang berbeza ditetapkan mengikut setiap negara, dengan proses tersebut boleh mengambil masa berminggu-minggu.
Pegawai kanan Rumah Putih, yang enggan dinamakan ketika memberi taklimat kepada wartawan berkata, hasil tarif dijangka membantu mengimbangi defisit bajet AS$1.9 trilion (RM8.4 trilion).
ANCAMAN UNTUK BRICS
Pada masa sama, Trump turut mengancam blok 10 negara yang dikenali sebagai BRICS, asalnya merangkumi Brazil, Russia, India dan China untuk mengenakan tarif sekurang-kurangnya 100 peratus jika kumpulan itu meneruskan rancangan menubuhkan mata wang bersama.
Tiada mata wang sedemikian sedang dalam perancangan, walaupun pemimpin BRICS pernah membangkitkan kemungkinan itu sebelum ini.
Namun, Trump menyelar prospek itu dalam sesi soal jawab dengan wartawan kelmarin, menuduh pemimpin BRICS mahu ‘bermain dengan dolar’.
“Jika ada sebarang perdagangan melibatkan mereka, ia akan dikenakan tarif sekurang-kurangnya 100 peratus,” kata Trump.
Trump secara terbuka mencetuskan ketegangan dengan pelbagai rakan perdagangan AS dalam beberapa minggu kebelakangan ini, mengenakan ancaman tarif dan mengundang tindak balas dalam bentuk cukai import yang boleh mendorong ekonomi ke dalam perang perdagangan.
Trump mengenakan tarif tambahan 10 peratus ke atas import China disebabkan peranan negara itu dalam pengeluaran fentanyl opioid.
Beliau juga bersedia mengenakan tarif ke atas Kanada dan Mexico, dua rakan perdagangan terbesar AS, yang berkuat kuasa pada Mac selepas ditangguhkan selama 30 hari.
Isnin lalu, Trump turut menarik balik pengecualian daripada tarif keluli dan aluminium yang diperkenalkan pada 2018, selain merancang tarif baharu ke atas komputer serta ubat farmaseutikal.
Menurutnya, tarif ke atas kenderaan, cip komputer dan ubat farmaseutikal akan lebih tinggi daripada kadar yang dikenakan dalam rancangan tarif timbal baliknya.
Rumah Putih berhujah, pelaksanaan cukai import sama seperti yang dikenakan oleh negara lain akan meningkatkan keadilan perdagangan, berpotensi menambah hasil kepada kerajaan dan membuka ruang rundingan untuk memperbaiki perdagangan.- AGENSI










