KHARTOUM: Sekurang-kurangnya 54 orang terkorban manakala 158 lagi cedera dalam serangan yang dilancarkan oleh pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di sebuah pasar di bandar Omdurman, semalam.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Sudan, serangan itu mengakibatkan kemusnahan besar di kawasan tumpuan awam tersebut.
Tambah kementerian itu lagi, serangan tersebut turut menyebabkan hospital Al-Nao yang berdekatan sesak selepas dipenuhi mangsa pengeboman tersebut yang ingin mendapatkan rawatan lanjut.
Bagaimanapun, RSF menafikan pihaknya bertanggungjawab terhadap serangan itu dan sebaliknya menuduh tentera Sudan melancarkan serangan yang menyasarkan orang awam.
Sementara itu, Badan Kebajikan Perubatan Perancis (MSF) berkata, kebanyakan mangsa terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Sejak konflik antara tentera Sudan dan RSF tercetus pada April 2023 akibat isu penggabungan dua pasukan itu, kedua-dua pihak kerap melancarkan serangan di kawasan berpenduduk padat.
Khartoum sudah menjadi medan pertempuran selama 22 bulan di antara Tentera Sudan dan RSF yang diketuai oleh Jeneral Abdel Fattah Al-Burhan dan Mohamed Hamdan Dagalo.
Perang saudara yang berlarutan ini telah meragut puluhan ribu nyawa, memaksa jutaan penduduk meninggalkan kediaman mereka serta menyebabkan separuh daripada populasi Sudan berdepan ancaman kebuluran. -AGENSI










