Seorang maut, dua polis parah serangan pisau di Perancis

Seorang maut, dua polis parah serangan pisau di Perancis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Seorang maut dan dua pegawai polis cedera parah dalam serangan pisau di timur Perancis yang disifatkan oleh Presiden, Emmanuel Macron sebagai tindakan pengganas Islam.

Pendakwa raya Nicolas Heitz berkata, tiga lagi pegawai cedera ringan dalam serangan di bandar Mulhouse.

Katanya, serangan itu dilakukan oleh suspek berusia 37 tahun yang berada dalam senarai pemerhatian pencegahan keganasan dan kini sudah tahan.

Dua daripada anggota polis yang parah itu masing-masing mengalami kecederaan di bahagian leher dan dada.

Menteri Dalam Negeri, Bruno Retailleau berkata, pihak berkuasa Perancis telah membuat beberapa percubaan untuk mengekstradisi suspek, tetapi negara asalnya Algeria enggan menerimanya.

Unit Pendakwa Raya Antikeganasan Kebangsaan Perancis (PNAT), yang mengambil alih penyiasatan berkata, suspek mula menyerang pegawai polis perbandaran sambil melaungkan ‘Allahu Akbar’.

Seorang pejalan kaki lelaki warga Portugis berusia 69 tahun yang cuba campur tangan maut dalam serangan itu , lapor PNAT dalam satu kenyataan.

Macron berkata, tidak ada keraguan bahawa insiden itu adalah tindakan pengganas, khususnya serangan pengganas Islamis.

“Kerajaan bertekad untuk terus melakukan segala-galanya untuk menghapuskan keganasan di bumi kita,” tambah Macron.

Retailleau dijangka melawat lokasi kejadian.

Polis menetapkan parameter keselamatan selepas serangan yang berlaku sejurus sebelum pukul 4.00 petang (waktu tempatan) semasa tunjuk perasaan menyokong Republik Demokratik Congo di bahagian sibuk Mulhouse, sebuah bandar yang mempunyai kira-kira 110,000 penduduk.

Suspek yang dilahirkan di Algeria itu dilaporkan berada di bawah pengawasan kehakiman dan tahanan rumah, dengan perintah pengusiran dari Perancis.

Retailleau memberitahu penyiar TF1, Perancis cuba mengusirnya sebanyak 10 kali, namun Algeria enggan menerimanya setiap kali usaha itu dibuat.

“Sekali lagi, keganasan Islam melanda dan sekali lagi masalah migran adalah asal usul perbuatan pengganas ini,” katanya.

Pendakwa raya antikeganasan di PNAT berkata, mereka sedang menyiasat serangan untuk pembunuhan dan cubaan membunuh berkaitan dengan kegiatan pengganas.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN