KARACHI: Pembekuan bantuan dana asing oleh Presiden, Amerika Syarikat ( AS), Donald Trump mengancam kelangsungan bekalan air di bandar paling panas di Pakistan ketika kawasan itu berdepan fenomena perubahan iklim yang semakin teruk.
Jacobabad, yang terletak di wilayah Sindh di selatan, sering mencatat suhu melebihi 50 darjah Celsius ketika gelombang haba semakin meningkat.
Keadaan ini menyebabkan masalah kesihatan kritikal seperti dehidrasi dan strok haba.
Pada tahun 2012, Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID) memperuntukkan geran sebanyak AS$66 juta (RM291 juta) untuk meningkatkan perkhidmatan perbandaran di Sindh, termasuk membiayai projek utama menaik taraf loji yang mengepam dan menapis air dari sebuah terusan sejauh 22 kilometer.
Namun, pertubuhan bukan kerajaan Pakistan, HANDS mendakwa pembekuan bantuan oleh Trump telah menyekat dana sebanyak AS$1.5 juta (RM6.62) yang diperuntukkan untuk melaksanakan projek itu dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Jelasnya, projek itu menyalurkan 5.7 juta liter air setiap hari yang memberi manfaat kepada kira-kira 350,000 penduduk di Jacobabad, sebuah bandar yang dibelenggu kemiskinan tegar.
Wakil HANDS berkata, mereka hanya mengetahui tentang pembekuan bantuan 90 hari oleh Trump melalui laporan media tanpa sebarang amaran awal
“Tindakan ini telah mengubah hidup kami. Jika bekalan air terputus, ia akan menjadi sangat sukar bagi kami di mana suhu musim sejuk diramal melebihi 30 darjah Celsius minggu depan,” kata seorang penduduk, Tufail Ahmed.
Menurut Jabatan Meteorologi Pakistan, antara September hingga pertengahan Januari, Sindh mengalami hujan 52 peratus di bawah purata dengan ramalan kemarau sederhana dalam beberapa bulan akan datang.
Pakar sains menyatakan gelombang haba semakin panas dan dijangka berlarutan lebih panjang serta kerap akibat perubahan iklim.-AFP










