JAKARTA: Gelombang ketidakpuasan rakyat terhadap keadaan semasa di Indonesia, mencetuskan beberapa gerakan yang membantah dasar Presiden Prabowo Subianto dan pentadbiran terdahulu.
Satu daripada gerakan itu ialah protes ‘Indonesia Gelap’ di seluruh negara pada Isnin lalu, di mana ribuan mahasiswa turun ke jalanan di pelbagai bandar utama.
Protes dianjurkan oleh Persatuan Badan Eksekutif Pelajar Universiti Seluruh Indonesia (BEM SI) berlanjutan selama tiga hari, dengan perhimpunan serentak di beberapa wilayah.
Di Jakarta, penunjuk perasaan berhimpun di kawasan Tugu Arjuna Wiwaha, yang terletak di persimpangan Jalan Medan Merdeka Barat dan Jalan MH Thamrin, bersebelahan dengan Monumen Nasional (Monas).
Selain demonstrasi jalanan, gerakan itu turut mencetuskan fenomena di media sosial apabila lambang rasmi negara, Garuda Pancasila, dipaparkan dengan latar belakang hitam dan disertai tanda pagar #IndonesiaGelap.
Simbol yang dikenali sebagai ‘Garuda Hitam’, melambangkan kekecewaan rakyat terhadap hala tuju negara.
Penunjuk perasaan mendakwa, Indonesia tidak bergerak ke arah visi Indonesia Maju seperti yang dicanangkan, sebaliknya menuju ke arah kegelapan dan ketidaktentuan.
Sejak tahun lalu, pelbagai sindiran muncul di internet, termasuk meme yang menyatakan slogan tersebut patut digantikan dengan Indonesia Cemas atau lebih teruk lagi, Indonesia Lemas.
Demonstrasi itu menunjukkan kebimbangan masyarakat terhadap dasar yang diperkenalkan oleh pentadbiran baharu serta kesannya kepada masa depan negara.– AGENSI










