JAKARTA: Polis Jakarta memaklumkan tiada peserta demonstrasi yang ditahan semasa protes di kawasan Patung Kuda Arjuna, Monas semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Metro Jakarta Pusat, Kombes Pol Susatyo Purnomo Condro, demonstrasi yang dianjurkan oleh beberapa gabungan masyarakat berlangsung dalam keadaan terkawal, walaupun terdapat beberapa provokasi daripada peserta protes terhadap anggota keselamatan.
Jelasnya, sebahagian peserta demonstrasi di kawasan Patung Kuda Arjuna mula memprovokasi pihak berkuasa dengan menyalakan mercun dan menghalakannya ke arah mereka.
Sekitar pukul 7.00 malam (waktu tempatan), sekumpulan individu bertopeng mula membaling objek ke arah anggota keselamatan dan cuba membakar penghadang keselamatan jalan yang diperbuat daripada plastik serta membaling pelbagai objek di sekitar ke arah polis.
Namun beliau menegaskan, pihak polis telah bersiap sedia untuk menjaga keselamatan dan mengawal perjalanan demonstrasi.
“Tiada yang ditahan sepanjang protes berlangsung.
“Selepas pukul 7.00 malam, sebahagian besar peserta demonstrasi bersurai secara aman. Namun, ada segelintir yang cuba melakukan provokasi, tetapi anggota keselamatan tetap bertenang dan tidak bertindak balas,” kata Susatyo di Jakarta.
Semalam,ribuan rakyat Indonesia mengadakan demonstrasi di seluruh negara termasuk Jakarta dan Surabaya bagi membantah pemotongan belanjawan kerajaan Presiden, Prabowo Subianto, bertujuan membiayai program makan percuma dan janji-janji besar lain dalam kempen pilihan raya.
Langkah penjimatan yang diumumkan Prabowo pada akhir Januari mencetuskan gelombang protes mahasiswa di beberapa bandar besar Indonesia sepanjang minggu ini, yang dipacu oleh gerakan media sosial dikenali sebagai ‘Indonesia Gelap’ .
Pada Khamis, penunjuk perasaan membakar tayar berhampiran Istana Presiden di Jakarta sambil menuntut kerajaan mengkaji semula program makan percuma.
Mereka kemudian bertemu Setiausaha Negara Prasetyo Hadi, yang berjanji akan menyampaikan tuntutan mereka kepada kerajaan.-AGENSI










