GAZA: Pejuang Hamas membebaskan tiga tebusan Israel dan Gaza, sebagai pertukaran kepada 369 tahanan Palestin dalam pertukaran keenam di bawah perjanjian gencatan senjata ‘rapuh’, semalam.
Kumpulan pejuang dan sekutunya, Jihad Islam mengerahkan kira-kira 200 anggota untuk mengambil bahagian dalam upacara penyerahan di dataran bandar selatan Khan Younis.
Tiga tebusan itu, Sagui Dekel-Chen; Lair Horn dan Sasha Troufanov, dipaksa membaca kenyataan dari pentas di hadapan orang ramai sebelum mereka diserahkan kepada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).
Penyerahan keenam berlangsung lebih lancar berbanding sebelum ini, dengan ketiga-tiga tebusan kelihatan sihat.
Daripada 369 tahanan Palestin yang dibebaskan pada Sabtu, 333 ditangkap atau ditahan di Gaza sejak permulaan perang.
Pembebasan itu turut melibatkan 36 rakyat Palestin yang menjalani hukuman penjara seumur hidup di penjara Israel.
Kira-kira 24 daripada mereka dihantar melalui Mesir ke negara-negara Arab lain, seorang dibawa ke Baitulmuqaddis dan 10 yang lain tiba dengan bas di Ramallah, bandar utama Tebing Barat.
Pengerusi Persatuan Tahanan Palestin, Abdullah al-Zaghari berkata, banduan yang dipindahkan dengan kereta persendirian dan dibawa pulang, semuanya sudah menghabiskan lebih 20 tahun di penjara Israel.
Kebanyakan mereka yang dibebaskan adalah sebahagian daripada sayap ketenteraan Fatah dan mengambil bahagian dalam pemberontakan bersenjata menentang pendudukan Israel.
Ameer Abu Ra’adaha, yang menghabiskan 32 dari 51 tahun hidupnya di dalam penjara, meluahkan perasaan yang tidak dapat digambarkan selepas dibebaskan.
Beliau berkata, tahanan sudah menjangka akan ada pertukaran beberapa hari sebelumnya apabila pengawal penjara menjalankan serbuan di sel-sel dan memukul sebahagian mereka.
Pertukaran semalam menandakan langkah terbaharu yang dijadualkan dalam fasa pertama perjanjian gencatan senjata sejak berkuat kuasa 19 Januari lalu.
Bagaimanapun, masa depan perjanjian itu masih samar, dengan rundingan kedua bermula pada 3 Februari.- THE GUARDIAN











