GAZA: Kumpulan pejuang Hamas dan Jihad Islam dijangka membebaskan tiga lagi tebusan Israel hari ini, sebagai pertukaran untuk 369 tahanan Palestin di bawah fasa pertama perjanjian gencatan senjata Gaza.
Tebusan yang akan dibebaskan dikenal pasti sebagai Sagui Dekel-Chen, warga Amerika-Israel; Alexandre Sasha Troufanov, warga Russia-Israel; dan rakyat Argentina-Israel, Yair Horn.
Walaupun senarai tahanan Palestin yang akan bebas belum diumumkan, media Israel mendakwa 333 daripadanya ditahan di Gaza dan akan dihantar pulang ke wilayah terkepung itu, 10 lagi dibebaskan di Tebing Barat, seorang di Baitulmuqaddis Timur serta baki 25 tahanan akan dihantar sama ada ke Gaza atau Mesir.
Wartawan Al Jazeera, Hani Mahmoud berkata, rakyat Palestin mengikuti rapat pengumuman mengenai pembebasan kali ini.
Setakat ini, 21 tebusan termasuk 16 warga Israel, dibebaskan oleh Hamas sejak bermulanya gencatan senjata pada 19 Januari lalu.
Selepas fasa pertukaran tebusan dan tahanan, gencatan senjata dijangka memasuki fasa kedua pada 1 Mac, walaupun perkembangan rundingan masih samar.
Pembebasan hari ini menjadi tumpuan selepas Hamas mengancam untuk menangguhkannya berikutan pelanggaran oleh Israel terhadap syarat perjanjian gencatan senjata.
Israel, dengan sokongan Presiden AS, Donald Trump, mengugut untuk menyambung semula pertempuran jika Hamas gagal membebaskan tebusan seperti ditetapkan. – AL-JAZEERA











