LONDON: Platform permesejan WhatsApp mendedahkan lebih 100 akaun pengguna perkhidmatan tersebut di 24 negara telah digodam oleh Paragon Solutions, sebuah syarikat perisian hasad dari Israel.
Menurut jurucakap Meta, selain orang awam, mangsa yang terkesan dilaporkan termasuk wartawan terkemuka dan sebahagian daripada kumpulan pengawas internet Citizen Lab dari Kanada.
WhatsApp mengeluarkan amaran semalam berikutan perisian penggodaman Paragon Solution digunakan oleh ribuan pelanggan kerajaan.
Jelasnya, pembuat perisian pengintipan itu menghantar produk mereka kepada kerajaan atas dasar akan membantu memerangi jenayah dan melindungi keselamatan negara.
“Apa yang lebih mengerikan ialah pengguna-pengguna yang digodam ini menerima fail dokumen digital berbahaya yang tidak perlu dibuka.
“Setelah ia dimuat-turun secara automatik ke dalam peranti pengguna, ia diaktifkan sendiri dan butiran-butiran yang terkandung didalam peranti itu dapat dihantar terus ke mesin pelayan penggodam.
“Sebaik sahaja telefon digodam, perisian pengintip mempunyai akses lengkap kepada telefon, termasuk dapat membaca mesej yang dihantar walaupun ia disulitkan,” katanya.
Dakwaan serangan itu dikesan pada Disember namun tidak diketahui berapa lama peranti dan akaun pengguna telah digodam.
Pihak Meta memaklumkan akan terus mengawasi situasi ini dan memperbaiki tahap keselamatan platform mereka untuk mengelakkan masalah serupa berulang.
Sejak minggu lalu, WhatsApp sedang dalam proses memaklumkan kepada individu yang terjejas dan menghantar surat rasmi kepada Paragon Solutions berhubung isu tersebut.
Peguam Kanan Teknologi Undang-Undang, Natalia Krapiva berkata, Paragon Solutions mempunyai reputasi yang baik tetapi kejadian itu membuktikan sebaliknya.
“Ini bukan hanya persoalan tentang kes terpecil tetapi kita khuatir jenis penyalahgunaan ini sebenarnya adalah ciri-ciri yang sememangnya wujud dalam industri perisian pengintip komersial,” katanya.










