BURITICUPU: Kerajaan perbandaran mengisytiharkan darurat di Buriticupu, di hujung timur laut Amazon di Brazil, selepas lubang benam di bandar tersebut semakin besar dan merebak di beberapa lagi kawasan.
Kira-kira 1,200 orang daripada sejumlah 55,000 penduduk khuatir rumah mereka terhumban ke dalam jurang yang semakin luas.
“Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, dimensi telah berkembang dengan sangat pesat, menghampiri kediaman dengan lebih ketara.
“Beberapa bangunan telah pun musnah ditelan lubang gergasi itu,” kata perintah kecemasan yang dikeluarkan oleh kerajaan bandar awal bulan ini .
Penduduk Buriticupu, di negeri Maranhao berdepan masalah lubang benam sejak 30 tahun lalu, apabila hujan perlahan-lahan menghakis tanah berpasir yang diburukkan lagi dengan kerja pembinaan dan penebangan hutan secara tidak terancang
“Masalah menjadi lebih teruk dalam tempoh hujan lebat seperti yang sedang berlaku sekarang,” kata Ahli Geografi Universiti Persekutuan Maranhao, Prof. Marcelino Farias.
Seorang penduduk, Antonia dos Anjos, yang tinggal di Buriticupu selama 22 tahun, bimbang lebih banyak lubang benam akan muncul tidak lama lagi.
“Terdapat bahaya ini di hadapan kami dan tiada siapa yang tahu di mana lubang akan muncul apabila tanah di bahagian bawahnya sudah terhakis,” kata lelaki berusia 65 tahun itu.
Setiausaha Kerja Raya Buriticupu, Lucas Conceicao berkata, pihak perbandaran tidak mempunyai kapasiti untuk mencari penyelesaian bagi situasi lubang benam yang semakin kompleks itu.
“Masalah ini berkisar daripada proses hakisan sehinggalah kepada pemindahan ribuan penduduk yang berada di kawasan berisiko,” katanya.










