Pemuda ditelan ikan paus humpback di perairan Chile

Pemuda ditelan ikan paus humpback di perairan Chile

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PATAGONIA: Seorang pemuda berusia 24 tahun berdepan detik cemas apabila dirinya ditelan secara tidak sengaja oleh ikan paus humpback ketika berkayak bersama bapanya di perairan sejuk Selat Magellan, Chile, pada Sabtu lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Insiden yang dirakam sendiri oleh bapanya menunjukkan momen dramatik ketika ikan paus itu muncul secara tiba-tiba dari permukaan laut lalu menelan Adrian Simancas buat seketika sebelum memuntahkannya semula.

Dalam video yang disahkan oleh CNN, bapanya, Dell, kedengaran menjerit meminta Adrian berpaut pada kayak selepas dia dimuntahkan semula oleh ikan paus berkenaan.

Adrian kemudian berenang ke arah kayak bapanya sebelum mereka berdua beredar dari kawasan kejadian.

“Apabila saya menoleh, saya terasa sesuatu yang berlendir di muka saya. Saya nampak warna-warna seperti biru gelap dan putih, sesuatu yang datang dari belakang dan menutup saya sebelum menenggelamkan saya,” katanya.

Adrian kemudian berkongsi pengalaman ngeri itu serta menggambarkan bagaimana rasanya berada di dalam mulut seekor ikan paus.

“Pada saat itu, saya fikir sudah tiada apa yang boleh saya lakukan. Saya akan mati. Saya tak tahu apa yang sedang berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, jaket keselamatan yang dipakainya membantu menariknya ke permukaan semula dan dalam masa hanya dua saat, dia sudah timbul kembali dan mula memahami apa yang berlaku.

Sementara itu, Saintis Hidupan Liar, Vanessa Pirotta menjelaskan, ikan paus humpback itu kemungkinan besar sedang melakukan ‘lunge-feeding’ iaitu teknik menangkap makanan seperti krill atau ikan kecil, dan secara tidak sengaja Adrian berada dalam laluannya.

“Lelaki itu kebetulan berada terlalu dekat dengan paus yang sedang mencari makan. Ia bukan sengaja menelannya,” katanya.

Menurutnya, paus humpback tidak mempunyai keupayaan untuk menelan manusia kerana tekak mereka yang sempit dan ketiadaan gigi tajam.

Menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA), ikan paus humpback boleh ditemui di hampir semua lautan utama dunia di mana ia juga sering menjadi tumpuan pemerhati hidupan laut kerana terkenal dengan aksi melompat ke permukaan air dan memukul permukaan laut dengan sirip atau ekornya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN