Pemimpin Eropah adakan sidang tergempar bincang isu Ukraine

Pemimpin Eropah adakan sidang tergempar bincang isu Ukraine

SIR KEIR STARMER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERANCIS: Pemimpin-pemimpin negara Eropah akan mengadakan sidang kemuncak tergempar mengenai perang di Ukraine berikutan kebimbangan Amerika Syarikat (AS) akan memulakan rundingan damai bersama Russia tanpa kehadiran wakil dari benua itu.

Perdana Menteri Britain, Sir Keir Starmer memaklumkan bersedia untuk menyertai pemimpin Eropah pada sidang kemuncak tergempar yang akan diadakan di Paris.

“United Kingdom (UK) akan berusaha memastikan perpaduan antara AS dan Eropah dikekalkan. Kita tidak boleh membiarkan sebarang perpecahan dalam pakatan ini mengalihkan tumpuan daripada ancaman luar yang kita hadapi.  

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini adalah saat penting bagi keselamatan negara kita, di mana kita perlu berdepan dengan realiti dunia hari ini dan ancaman dari Russia. 

“Jelas bahawa Eropah mesti memainkan peranan lebih besar dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ketika kita bekerjasama dengan AS untuk menjamin masa depan Ukraine dan menghadapi ancaman dari Russia,” kata Starmer dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Downing Street.

Rancangan itu dibuat selepas Utusan Khas AS ke Ukraine, Keith Kellogg berkata, pemimpin Eropah akan dirujuk tetapi tidak mengambil bahagian dalam sebarang rundingan antara AS dan Russia untuk menamatkan perang.

Tokoh kanan Rumah Putih, termasuk Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, juga akan bertemu perunding Russia dan Ukraine di Arab Saudi dalam beberapa hari akan datang, lapor pegawai AS.

Dalam kenyataan yang menimbulkan kebimbangan di Ukraine dan kalangan sekutu Eropah, Kellogg berkata, rundingan sebelum ini telah gagal kerana terlalu banyak pihak terlibat.

Terdahulu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menyeru untuk mewujudkan pasukan pertahanan Eropah di tengah-tengah kebimbangan Ukraine tidak lagi boleh mengharapkan bantuan ketenteraan dari AS.

Zelenskyy turut menegaskan, Ukraine tidak akan menerima sebarang perjanjian damai yang dibuat tanpa penglibatannya.

Beliau turut mengumumkan sudah menghalang kerajaannya daripada menandatangani sebarang perjanjian dengan AS mengenai logam nadir, memetik kebimbangan terhadap kepentingan negara.

Bercakap pada sidang akhbar di Munich, Zelenskyy menekankan bahawa perjanjian yang dicadangkan itu tidak sejajar dengan kepentingan rakyat Ukraine.

“Sebagai Presiden, saya bertanggungjawab untuk memastikan kualiti dokumen ini. Sebab itu saya tidak benarkan menteri menandatangani perjanjian itu kerana pada pendapat saya ia masih belum lengkap,” katanya.

Dalam temu bual dengan media AS Isnin lalu, Presiden AS, Donald Trump mendakwa mahu ‘memulangkan’ semua wang yang dibelanjakan oleh kerajaan AS di Ukraine dalam bentuk logam nadir bumi bernilai AS$500 billion (RM2.2 trilion).

Zelenskyy menegaskan bahawa dokumen itu mesti menjamin pelaburan di Ukraine dan distrukturkan secara sah untuk menentukan dengan jelas pengagihan keuntungan serta hubungan antara pengekstrakan logam bersama jaminan keselamatan kepada negaranya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN