RIYADH: Para pemimpin di Asia Barat berhimpun di Arab Saudi bagi merangka pelan pemulihan Gaza, bertujuan menentang cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang mahu mengambil alih wilayah itu dan mengusir penduduknya.
Cadangan Trump itu telah menyatukan negara-negara Arab untuk menentang pengambilalihan Gaza oleh kuasa barat.
CARI KATA SEPAKAT
Namun masih terdapat perbezaan pendapat mengenai siapa yang harus mentadbir wilayah Palestin yang musnah akibat perang itu serta bagaimana pembiayaannya akan dijalankan.
Pakar Dasar Luar Arab Saudi, Umer Karim menyifatkan sidang kemuncak itu sebagai langkah bersejarah yang amat penting dan paling utama bagi dunia Arab dalam menangani isu Palestin.
Trump mencetuskan kemarahan global apabila mencadangkan AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza dan memindahkan 2.4 juta penduduknya ke Mesir dan Jordan.
Menurut sumber yang rapat dengan kerajaan, pemimpin-pemimpin yang hadir atas jemputan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman, membincangkan rancangan pembinaan semula Gaza bagi memastikan rancangan Trump tidak dilaksanakan.
Gaza kini hampir musnah sepenuhnya selepas lebih setahun peperangan antara Israel dan Hamas, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kos pembinaan semula bakal menelan belanja melebihi AS$53 bilion (RM234 bilion).
Ketika bertemu Trump di Washington pada 11 Februari, Raja Jordan, Raja Abdullah II menyatakan bahawa Mesir akan membentangkan pelan pemulihan Gaza.
Sumber Arab Saudi berkata, rundingan di Riyadh turut membincangkan versi rancangan yang telah diutarakan oleh Mesir.
Agensi Berita Rasmi Saudi (SPA) mengesahkan bahawa Mesir dan Jordan menyertai sidang itu bersama enam negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
“Keputusan mesyuarat tidak rasmi ini akan dimasukkan dalam agenda sidang kemuncak Liga Arab yang dijadualkan berlangsung di Mesir pada 4 Mac,” katanya.
Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi dilaporkan tiba di Arab Saudi Khamis lalu bagi membuat persiapan menyertai sidang kemuncak itu.
Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA), Mahmoud Abbas juga turut mengambil bahagian dalam rundingan itu.
Menurut kenyataan pejabatnya, Mahmoud menyeru pemerkasaan negara Palestin dan pemerintahannya yang sah untuk memikul tanggungjawab penuh terhadap Gaza, seperti mana dilakukan di Tebing Barat.
“Visi Abbas menekankan bahawa kerajaan Palestin telah mengerahkan sumbernya untuk memulihkan perkhidmatan penting di Gaza, termasuk air dan elektrik, membantu orang yang kehilangan tempat tinggal, membuka jalan raya dan mengaktifkan perkhidmatan penjagaan kesihatan serta pendidikan.
“Visi tersebut menggariskan pelan pemulihan dan pembinaan semula yang akan dilaksanakan sambil mengekalkan populasi dalam wilayah tersebut. Ia akan dicapai dengan kerjasama Mesir, organisasi antarabangsa, Bank Dunia dan Kesatuan Eropah (EU).
“Beliau turut menekankan bahawa pilihan raya demokratik adalah satu-satunya cara yang sah untuk menghormati kehendak rakyat Palestin, yang perlu akan diadakan di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur dalam tempoh setahun selepas syarat yang diperlukan dipenuhi,” jelas kenyataan itu.
PELAN TIGA PERINGKAT
Pemulihan Gaza menjadi isu utama setelah Trump menggunakan alasan pembinaan semula sebagai justifikasi untuk memindahkan penduduknya.
Kaherah masih belum mengumumkan inisiatifnya, tetapi bekas diplomat Mesir, Mohamed Hegazy menggariskan pelan tiga peringkat yang dijangka mengambil masa antara tiga hingga lima tahun.
Fasa pertama yang akan memakan masa sekitar enam bulan akan memfokuskan kepada pemulihan awal, termasuk pembersihan runtuhan.
Kemudian, fasa kedua pula akan melibatkan penganjuran persidangan antarabangsa bagi memperincikan proses pembinaan semula dan membangunkan infrastruktur utiliti.
Mohamed berkata, fasa terakhir melibatkan perancangan bandar, pembinaan perumahan, penyediaan perkhidmatan serta rangka politik untuk melaksanakan penyelesaian dua negara.
Seorang diplomat Arab Saudi yang biasa dengan hal ehwal Teluk berkata, cabaran terbesar adalah bagaimana membiayai pelan yang dicadangkan Mesir.
“Pelan ini juga bertujuan menyelesaikan isu kompleks berkaitan pentadbiran pasca-perang di Gaza yang telah dikuasai Hamas sejak 2007 dengan menubuhkan pentadbiran Palestin yang tidak berpihak kepada mana-mana puak politik.
“Pentadbiran ini akan terdiri daripada pakar yang secara politik dan sah akan berada di bawah PA,” jelas Mohammed.
Beliau juga meramalkan Hamas akan berundur dari kancah politik dalam tempoh akan datang.-AFP










