KAHERAH: Palestin dan Mesir mengecam cadangan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk menubuhkan negara Palestin di Arab Saudi, sambil menyifatkan kenyataan tersebut sebagai satu pencabulan terhadap kedaulatan negara itu, lapor Agensi Anadolu.
Kementerian Luar Palestin dalam satu kenyataan menyifatkan cadangan Netanyahu sebagai bersifat perkauman dan anti keamanan serta pencerobohan terhadap kedaulatan dan kestabilan Arab Saudi.
Kenyataan itu turut menyatakan sokongan penuh serta solidariti bersama Arab Saudi dalam menghadapi hasutan Israel, selain menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengecam kenyataan Netanyahu.
Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Hussein Al-Sheikh pula menyifatkan kenyataan Israel itu sebagai satu serangan terhadap kedaulatan Arab Saudi dan melanggar undang-undang serta konvensyen antarabangsa.
“Negara Palestin hanya akan wujud di tanah Palestin,” katanya dalam satu hantaran di akaun X beliau.
Beliau turut memuji pendirian tegas Arab Saudi yang sentiasa menyeru pelaksanaan undang-undang antarabangsa serta komited kepada penyelesaian dua negara sebagai asas kepada keselamatan, kestabilan, dan keamanan di rantau ini.
Sementara itu, Mesir turut mengecam kenyataan Netanyahu yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan ditolak sepenuhnya.
Kementerian Luar Mesir dalam satu kenyataan berkata, kenyataan Israel itu secara langsung mencabul kedaulatan Arab Saudi dan melanggar undang-undang antarabangsa serta Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kementerian tersebut turut menegaskan Arab Saudi dan penghormatan terhadap kedaulatannya adalah garis merah yang tidak akan dibenarkan untuk dilanggar oleh Kaherah.
“Kestabilan dan keselamatan negara Arab Saudi adalah sebahagian daripada keselamatan dan kestabilan Mesir serta negara-negara Arab lain, perkara yang tidak boleh dikompromi,” jelasnya lagi.
Netanyahu sebelum ini mencadangkan agar rakyat Palestin menubuhkan negara mereka di Arab Saudi, bukan di tanah air mereka sendiri, sekali gus menolak tuntutan lama rakyat Palestin untuk menentukan nasib mereka sendiri di samping turut berbicara mengenai potensi normalisasi hubungan dengan negara tersebut sambil meramalkan satu perjanjian akan dimeterai dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, Kementerian Luar Arab Saudi menolak naratif Netanyahu, dengan menegaskan normalisasi hubungan dengan Israel tidak akan berlaku melainkan sebuah negara Palestin ditubuhkan. – AGENSI










