BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengarahkan operasi ketenteraan intensif di Tebing Barat yang diduduki susulan insiden letupan tiga buah bas di Tel Aviv kelmarin yang tidak menyebabkan sebarang kecederaan.
Menurut polis Israel, tiga peranti diletupkan di dalam bas di bandar Bat Yam pada petang Khamis dan dua lagi bom yang tidak diletupkan ditemui di kawasan itu oleh polis.
Katanya, bahan letupan itu berkemungkinan menyasarkan orang ramai dalam perjalanan ke tempat kerja, menyifatkan peranti itu sama seperti yang digunakan di Tebing Barat, tetapi tiada butiran lanjut diberikan.
Rejim itu menuduh kumpulan pejuang Palestin bertanggungjawab atas insiden itu.
Pejabat Netanyahu memaklumkan sudah menyelesaikan penilaian keselamatan dengan pegawai atasan dan mengarahkan operasi antikeganasan baharu termasuk meningkatkan keselamatan di bandar-bandar Israel.
“Perdana Menteri telah mengarahkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) untuk menjalankan operasi intensif terhadap pusat keganasan di Tebing Barat.
“Perdana Menteri juga mengarahkan polis Israel dan agensi keselamatan dalam negeri meningkatkan aktiviti pencegahan terhadap serangan tambahan di bandar-bandar Israel.
“Unit pemusnah bom polis sedang mengimbas objek tambahan yang mencurigakan. Kami menggesa orang ramai mengelak kawasan tersebut dan sentiasa berwaspada terhadap sebarang barang yang mencurigakan,” tambahnya.
Beberapa bahagian Tebing Barat segera ditutup dan sekatan besar-bsaran dikenakan ke atas pergerakan rakyat Palestin.
Tentera Israel turut mengumumkan kerahan tiga unit tambahan dalam Komando Pusat yang bertanggungjawab ke atas tentera Israel di Tebing Barat yang diduduki, sebagai persediaan untuk memperluaskan serangan terhadap masyarakat Palestin.
Wartawan Al Jazeera, Nour Odeh berkata, rakyat Palestin di Tebing Barat kini hidup dalam ketakutan berikutan pengumuman tersebut.
“Tebing Barat yang diduduki, terutamanya di utara di Tulkarem dan Jenin, telah melalui serangan tentera yang tidak pernah berlaku sebelum ini, mengakibatkan pemindahan paksa beramai-ramai lebih daripada 40,000 penduduk.
“Tentera Israel menubuhkan ratusan pusat pemeriksaan di seluruh Tebing Barat yang diduduki sejak permulaan serangan mereka pada 21 Januari lalu dengan sekurang-kurangnya 70 rakyat Palestin telah dibunuh oleh tentera rejim,” katanya.
Penganalisis Palestin berpendapat, Israel mungkin mengeksploitasi insiden letupan itu untuk mengukuhkan naratifnya di Tebing Barat, bersama keinginan mencapai matlamatnya melucutkan senjata kumpulan pejuang di Gaza.










