KAHERAH: Pengantara serantau Mesir dan Qatar bekerja keras meningkatkan usaha diplomatik mereka bagi menyelamatkan perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza yang dilihat semakin goyah.
Delegasi peringkat tertinggi Hamas dilaporkan tiba di Kaherah semalam untuk meneruskan rundingan bagi membendung krisis semasa dan mengulangi komitmen penuh kumpulan itu terhadap setiap syarat perjanjian.
ANCAMAN PERANG BAHARU
Israel semalam bertindak mengancam untuk melancarkan ‘perang baharu’ terhadap Hamas dan melaksanakan pelan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk mengusir rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza yang kini musnah teruk.
Ugutan itu dibuat sekiranya Hamas tidak membebaskan tebusan pada hujung minggu ini.
Kenyataan oleh Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz itu dibuat selepas Hamas menegaskan pihaknya tidak ada tunduk terhadap ancaman AS dan tentera rejim berhubung pembebasan tebusan di bawah perjanjian gencatan senjata yang rapuh.
Beliau berkata, Israel akan meneruskan perang jika Hamas gagal membebaskan tebusan itu pada Sabtu ini.
“Perang Gaza yang baharu tidak akan berakhir tanpa kekalahan Hamas dan pembebasan semua tebusan. Ia juga akan membolehkan realisasi visi Trump untuk Gaza,” katanya.
Pada hujung minggu ini bakal berlangsung pertukaran tebusan dan tahanan keenam seperti dijadualkan, mengikut terma perjanjian berkenaan.
Hamas pula menegaskan yang pihaknya akan menangguhkan urusan pembebasan itu berikutan pelanggaran dilakukan oleh Israel.
Beberapa jam kemudian, Presiden AS, Donald Trump masuk campur dengan amaran bahawa ‘malapetaka’ akan tercetus jika Hamas gagal membebaskan semua tebusan menjelang waktu itu.
USAHA PERTAHAN GENCATAN SENJATA
Ketegangan terbaharu antara Israel dan Hamas mencetuskan gelombang besar keraguan dan kekecewaan dalam kalangan ramai rakyat Palestin yang sekian lama menanggung beban konflik berterusan.
Ramai antara penduduk Gaza kini terperangkap di antara tuntutan pihak-pihak yang berkonflik, dan menyeru agar peluang untuk penyelesaian politik selanjutnya berlaku di bawah pengawasan pengantara serantau.
Bilangan trak bantuan yang memasuki Semenanjung Gaza adalah petanda positif, tetapi orang ramai menunggu kemasukan jentera berat dan rumah bergerak yang berbaris di sebelah sempadan Mesir.
Jentera berat ini diperlukan untuk rakyat Palestin membuang serpihan, membuka semula jalan raya dan memulihkan infrastruktur awam.
Penduduk merasakan apabila jentera tersebut dibenarkan masuk ke Gaza, Hamas akan menunjukkan sikap lebih fleksibel dan pembebasan tawanan Israel boleh dilakukan seperti yang dijadualkan.
Jurucakap Hamas, Abdul Latif al-Qanou berkata, kumpulan itu akan memastikan perjanjian gencatan senjata Gaza diteruskan.
“Kami tidak bimbang dengan keruntuhan perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza dan kami tidak sabar-sabar untuk melaksanakannya dan mewajibkan tentera pendudukan untuk turut melaksanakannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Pemimpin Hamas untuk Gaza, Khalil al-Hayya yang mengetuai delegasi di Kaherah menunjukkan bahawa kumpulan bersenjata itu juga cuba memastikan perjanjian gencatan senjata kembali ke landasan yang betul.
Sejak 19 Januari, perjanjian itu menyaksikan sejumlah 16 tebusan Israel termasuk lima pekerja Thailand dibawa pulang sebagai pertukaran untuk ratusan tahanan Palestin yang ditahan oleh tentera rejim.
Pada masa yang sama, tentera Israel turut berundur dari perimeter Gaza, termasuk di sepanjang sempadan Mesir.
Keadaan tenang membolehkan ratusan ribu penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal kembali ke kawasan kejiranan mereka dan membawa lonjakan bantuan kemanusiaan.
Mesir berkata, pihaknya sudah merangka pelan pembinaan semula Gaza yang komprehensif tanpa melibatkan rakyat Palestin meninggalkan tanah mereka.
Pemimpin Mesir, Qatar, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi dijangka bertemu menjelang persidangan di Kaherah pada 27 Februari ini.
Namun pertikaian berterusan mengenai masa depan Gaza menambah kekeliruan dan rasa tidak percaya yang mendalam di tengah-tengah usaha untuk menyelesaikan isu semasa dan meneruskan usaha menamatkan perang.-AGENSI










