SEOUL: Korea Utara menghantar ribuan pekerja ke Russia termasuk anggota tenteranya pada tahun lalu.
Menurut Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan (NIS), jumlah pekerja yang dihantar terus meningkat sejak anggaran terakhir diberikan pada Oktober lalu.
Katanya, kira-kira 4,000 pekerja Korea Utara dipercayai sudah berada di Russia dengan setiap daripada mereka menerima gaji bulanan sekitar AS$800 (RM3,800).
Wakil Parti Demokratik Korea, Wi Sung-lac pula berkata, Russia mungkin merekrut pekerja Korea Utara untuk mengisi kekosongan dalam industri pembinaan yang terjejas akibat perang berpanjangan antara negara itu dan Ukraine.
“Saya rasa pekerja Korea Utara mungkin diambil bagi menampung kekurangan tenaga kerja selepas ramai yang dikerah untuk berperang,” kata Wi yang juga pernah berkhidmat sebagai duta Seoul di Rusia kepada The Korea Herald pada 9 Februari lalu.
Mengulas mengenai penghantaran ribuan pekerja Korea Utara ke Rusia dalam tempoh setahun, Wi berkata, sebelum sekatan dikenakan, jumlahnya mencecah puluhan ribu.
“Namun kini, dengan adanya sekatan, mereka sepatutnya tidak dibenarkan menghantar pekerja sama sekali,” katanya.
Penghantaran pekerja Korea Utara ke luar negara telah melanggar Resolusi 2375 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang melarang pengeluaran permit kerja kepada tenaga buruh dari negara berkenaan.
Di bawah resolusi tersebut, semua pekerja Korea Utara yang sedia ada sepatutnya pulang ke tanah air selewat-lewatnya pada akhir Disember 2019.
Korea Utara dan Russia didakwa mengelak sekatan itu dengan mengeksploitasi visa pelajar serta menggunakan pelbagai kelemahan dalam peraturan sedia ada.
Tambah Wi, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang berikrar untuk menamatkan perang di Ukraine, Moscow berkemungkinan akan mengemukakan syarat sendiri bagi perintah pasca gencatan senjata.
“Saya rasa Washington sedang berusaha untuk menamatkan perang, mungkin menjelang perayaan Easter. Saya tidak pasti sama ada mereka telah mencapai kemajuan dalam rundingan dengan Rusia yang tidak menolak gencatan senjata.
“Namun, Rusia pasti mahu menetapkan beberapa prasyarat termasuk mengenai sempadan dan perkara berkaitan,” katanya
Setakat ini, NIS masih belum mengesahkan dakwaan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, dalam ucapannya pada 7 Februari lalu bahawa askar Korea Utara telah dihantar semula ke barisan hadapan di wilayah Kursk, Rusia berhampiran sempadan Ukraine.
Pada Januari lalu, NIS memaklumkan, askar Korea Utara telah ditarik balik daripada operasi di Kursk yang berkemungkinan berpunca daripada kehilangan anggota tenteranya.
Berdasarkan anggaran NIS setakat pertengahan Januari lalu, kira-kira 300 askar Korea Utara yang beroperasi dalam perang Rusia telah terkorban manakala 2,700 lagi cedera.
Menurut NIS, Korea Utara telah menghantar 11,000 tentera ke Rusia untuk menentang Ukraine sejak Oktober tahun lalu dan setiap anggota dilaporkan menerima bayaran sekitar AS$2,000 (RM8,950) sebulan. – AGENSI









