Kerajaan New Zealand dikritik gagal sedia makanan halal di sekolah

Kerajaan New Zealand dikritik gagal sedia makanan halal di sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WELLINGTON: Kerajaan New Zealand dikritik kerana tidak menyediakan makanan tengah hari yang disahkan halal di sekolah.

Kontroversi itu timbul selepas pembekal makanan tengah hari sekolah, Compass, mengaku makanan yang ditawarkan tidak disahkan halal, sebaliknya disifatkan syarikat sebagai ‘mesra halal’.

Radio New Zealand (RNZ) melaporkan, makanan tersebut mengandungi ayam dan daging lembu yang disahkan halal, namun kemudahan tempat penyediaan makanan tersebut tidak disahkan halal.

Makanan halal merujuk kepada garis panduan diet ketat yang tidak hanya merangkumi bahan, tetapi juga cara penyediaannya.

Timbalan Menteri Pendidikan, David Seymour dalam satu kenyataan berkata, pensijilan penuh makanan sebagai halal akan menjadi perbelanjaan yang tidak wajar.

“Untuk mendapatkan pensijilan halal sepenuhnya memerlukan perbelanjaan besar untuk kemudahan penyediaan yang berasingan, pembungkusan dan proses pengedaran. Saya percaya perbelanjaan tersebut tidak wajar,” kata Seymour.

Jurucakap Persekutuan Persatuan Islam New Zealand, Abdur Razaaq Khan mengkritik kenyataan Seymour dan menggelarnya ‘malas’.

Khan berkata, penyediaan makanan tengah hari yang disahkan halal tidak memerlukan dapur tambahan kerana kemudahan yang sama boleh menyediakan makanan bukan halal dengan pensijilan.

Khan menggesa Perdana Menteri, Christopher Luxon untuk campur tangan dalam proses pensijilan halal dan mendakwa bahawa beberapa kanak-kanak diberikan sandwic ham dalam makanan yang sepatutnya halal. – ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×