SEOUL: Perbicaraan pemecatan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, memasuki fasa akhir minggu ini dengan hanya berbaki dua sesi pendengaran rasmi, sementara komuniti perundangan menjangkakan keputusan diumumkan pertengahan Mac.
Mahkamah Perlembagaan dijadualkan mengadakan pendengaran ketujuh dan kelapan pada 11 dan 13 Februari, dengan lapan saksi bakal dipanggil untuk memberi keterangan.
Walaupun sesi tambahan mungkin dijadualkan, mahkamah dijangka menamatkan prosiding pada penghujung Februari sebelum mengumumkan keputusan mengenai pemecatan Suk Yeol pada bulan berikutnya.
Namun, terdapat spekulasi sekurang-kurangnya dua sesi lagi mungkin diadakan dengan memanggil Perdana Menteri yang dipecat, Han Duck-soo serta pegawai perisikan tentera, Lee Kyung-min yang masih belum memberi keterangan.
Sehingga kini, mahkamah tertinggi negara itu mengadakan dua pendengaran awal dan enam pendengaran rasmi sejak Dewan Kebangsaan meluluskan usul pemecatan Presiden Yoon pada 14 Disember 2024, susulan pengisytiharan undang-undang tentera oleh beliau pada 3 Disember tahun sama.
Mahkamah meneliti prosedur pengisytiharan undang-undang tentera, butiran Pengisytiharan No. 1, campur tangan ketenteraan dalam Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan (NEC), usaha Yoon untuk mengambil alih Dewan Kebangsaan serta cubaan menahan ahli-ahli politik.
Antara saksi yang memberi keterangan termasuk bekas Menteri Pertahanan, Kim Yong-hyun dan tiga komander utama yang terlibat dalam pengisytiharan undang-undang tentera yang kontroversi itu.
Pada 11 Februari, mahkamah akan memanggil bekas Menteri Dalam Negeri dan Keselamatan, Lee Sang-min, Ketua Pejabat Keselamatan Negara, Shin Won-sik, bekas Timbalan Pengarah Perkhidmatan Perisikan Negara (NIS), Baek Jong-wook, dan Setiausaha Agung NEC, Kim Yong-bin manakala pada 13 Februari, empat lagi saksi akan memberi keterangan, termasuk Ketua Polis Negara, Cho Ji-ho, bekas Ketua Polis Seoul, Kim Bong-sik, Pengarah NIS, Cho Tae-yong, dan Komander Batalion Keselamatan Pertama, Pertahanan Ibu Kota, Cho Sung-hyun.
Selepas selesai sesi keterangan saksi, mahkamah dijangka menetapkan tarikh berasingan untuk kenyataan akhir Presiden Suk Yeol.
Berdasarkan kes-kes pemecatan terdahulu, seperti bekas Presiden Roh Moo-hyun dan Park Geun-hye, mahkamah dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu selepas hujah akhir untuk mengumumkan keputusan.
Dengan mengambil kira jadual semasa, keputusan mengenai pemecatan Presiden Yoon dijangka diumumkan sekitar pertengahan Mac, kira-kira tiga bulan selepas usul pemecatan diluluskan oleh Dewan Kebangsaan. – AGENSI










