Keluarga Bibas tuduh Netanyahu gagal lindungi tebusan

Keluarga Bibas tuduh Netanyahu gagal lindungi tebusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Keluarga Bibas di Israel menuduh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu gagal melindungi tebusan semasa serangan Hamas pada 2023 dan gagal membawa mereka pulang.

Kenyataan tersebut adalah yang pertama daripada keluarga Bibas sejak Israel mengumumkan bahawa mayat yang diterima daripada Hamas pada Khamis bukan milik Shiri Bibas seperti yang didakwa oleh kumpulan pejuang Palestin itu.

Pihak berkuasa Israel mengesahkan bahawa tiga mayat lain yang diserahkan adalah milik aktivis keamanan veteran, Oded Lifshitz serta dua anak kecil Shiri, Kfir dan Ariel.

Ipar perempuan Shiri, Ofri Bibas mendakwa pihak berkuasa Israel, terutamanya perdana menteri, gagal melindungi para tebusan dan telah mengabaikan mereka.

“Itu adalah tanggungjawab dan kewajipan Israel untuk membawa mereka pulang dalam keadaan hidup.

“Tiada kemaafan atas pengabaian mereka pada 7 Oktober, dan tiada kemaafan atas pengabaian mereka semasa dalam tawanan. Netanyahu, kami tidak menerima sebarang permohonan maaf daripada anda dalam saat yang menyakitkan ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bagi pihak keluarga melalui kumpulan kempen Israel, Hostages and Missing Families Forum..

Semalam, Hamas sudah menyerahkan satu lagi mayat yang didakwa sebagai Shiri Bibas, tetapi kesilapan dalam pengecaman lalu berisiko menggagalkan perjanjian gencatan senjata yang rapuh di Gaza.

Anggota Biro Politik Hamas, Basem Naim berkata, kesilapan yang tidak disengajakan boleh berlaku, terutamanya kerana pengeboman rejim itu menyebabkan mayat para tebusan Israel bercampur dengan rakyat Palestin yang ribuan daripadanya masih tertimbus di bawah runtuhan.

“Kami menegaskan bahawa adalah bertentangan dengan nilai dan kepentingan kami untuk menyimpan mana-mana mayat atau melanggar perjanjian yang telah kami tandatangani,” katanya dalam satu kenyataan.

Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa (ICRC) mengesahkan bahawa mereka telah menyerahkan mayat Shiri kepada pihak berkuasa Israel.

“Malam tadi, atas permintaan kedua-dua pihak, pasukan ICRC menerima mayat, yang kemudian diserahkan kepada pihak berkuasa Israel,” kata jurucakapnya kepada AFP.

Mayat tersebut dilaporkan sudah diserahkan kepada Pasukan Pertahanan Israel (IDF) yang kemudian membawanya ke Institut Forensik Abu Kabir untuk pengecaman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×