PARIS: Pegawai kastam Perancis menemukan sembilan gigi dinosaur semasa pemeriksaan rutin berhampiran sempadan Itali.
Penemuan itu dibuat ketika pegawai kastam memeriksa sebuah lori dari Sepanyol di lebuh raya A8 pada 28 Januari lalu.
Mereka menemukan fosil tersebut dalam dua bungkusan dan menghantarnya untuk diperiksa di muzium prasejarah di bandar Menton.
Pada Jumaat, seorang pakar mendedahkan bahawa gigi-gigi tersebut milik reptilia berasal dari Maghribi pada zaman Kretas Akhir iaitu sekitar 72 hingga 66 juta tahun lalu, menurut pihak berkuasa.
“Lori yang melalui lebuh raya A8 antara Sepanyol dan Itali sering dihentikan untuk pemeriksaan dan bungkusan dibuka secara rawak kerana kadangkala ia mengandungi dadah haram.
“Namun, penemuan terbaru ini amat mengejutkan,” kata pegawai kastam, Samantha Verduron kepada agensi berita AFP.
Satu daripada gigi itu dikenal pasti milik Zarafasaura oceanis, sejenis reptilia laut sepanjang kira-kira tiga meter yang dinamakan di Maghribi pada 2011.
Tiga lagi gigi milik Mosasaurus, haiwan akuatik besar yang berukuran sehingga 12 meter, manakala lima gigi lain dipercayai milik Dyrosaurus phosphaticus, spesies menyerupai buaya.
Pihak berkuasa Perancis berkata, pemandu lori tersebut memberitahu pegawai kastam bahawa dia sedang menghantar bungkusan tersebut kepada individu di bandar Genoa dan Milan di Itali.
Pihak berkuasa kini sedang berusaha untuk mengenal pasti penerima bungkusan tersebut.
Mengumpul fosil adalah sah, namun mengeksportnya memerlukan lesen.










