BERLIN: Jerman mengumumkan inisiatif 10 juta euro (RM46.48 juta) bertujuan untuk meningkatkan ekonomi penduduk Palestin, lapor agensi berita Wafa.
Perjanjian itu ditandatangani di Kementerian Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa (MoPIC) di Ramallah oleh Menterinya, Wael Zaqut dan Menteri Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan Jerman, Niels Annen.
Inisiatif itu adalah sebahagian daripada program jaminan kredit lebih luas yang menyokong pembangunan ekonomi di seluruh wilayah Palestin yang diduduki, menurut kenyataan akhbar MoPIC.
Kementerian itu menyatakan bahawa program tersebut dijangka memanfaatkan sekitar 1,400 perusahaan dan mewujudkan anggaran 10,500 pekerjaan dalam tempoh empat tahun akan datang.
Bertujuan untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana dan memupuk pertumbuhan ekonomi di Palestin, inisiatif itu turut menyediakan jaminan kredit untuk meningkatkan pekerjaan dan menggalakkan pelaburan tempatan.
Bidang tumpuan utama termasuk penciptaan pekerjaan, pembiayaan hijau, sokongan untuk perniagaan yang diterajui wanita, pemerkasaan belia dan bantuan untuk perusahaan kecil dan mikro, khususnya dalam sektor dan wilayah yang mengalami cabaran ekonomi yang teruk.
Sementara itu, kerajaan United Kingdom (UK) berikrar untuk menutup kepincangan undang-undang yang membenarkan sebuah keluarga Palestin dari Gaza untuk tinggal di negara itu selepas memohon melalui skim khas bagi mangsa perang Ukraine.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer berkata demikian semasa sesi soal jawab selepas pemimpin Konservatif, Kemi Badenoch berkata, adalah salah sama sekali apabila enam keluarga dari Gaza dibenarkan menyertai bapa saudara mereka di UK dengan menggunakan Skim Keluarga Ukraine.
Permohonan itu pada mulanya ditolak pada Mei tahun lalu kerana Pejabat Dalam Negeri menyimpulkan keperluan skim itu tidak dipenuhi.
Bagaimanapun, keluarga Palestin tersebut yang kehilangan tempat tinggal dan hampir kebuluran akibat serangan udara Israel di Gaza merayu keputusan itu pada September.
Rayuan selanjutnya pada bulan Januari telah dikekalkan atas alasan Perkara 8 Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi Manusia, yang mendapati wujud keadaan yang sangat mendesak atau luar biasa bermakna mereka harus dibenarkan tinggal di UK, terutamanya kerana situasi yang sedang berlaku di Gaza sangat mengerikan.
“Sepatutnya kerajaan yang membuat dasar, itulah prinsipnya dan setiausaha dalam negeri sudah melihat kelemahan undang-undang yang perlu kita tutup dalam kes ini,” jawab Starmer.
UK menyediakan laluan pelarian yang disesuaikan untuk penduduk Afghanistan, Ukraine serta Hong Kong namun tiada skim setara wujud untuk rakyat Palestin, walaupun perang dahsyat di Gaza sudah membunuh lebih 61,000 penduduk dan memusnahkan sebahagian besar wilayah itu.
Kesediaan kerajaan untuk melindungi pelarian Ukraine dengan pantas sambil menutup laluan undang-undang yang jarang berlaku untuk rakyat Palestin, mencetus tuduhan perkauman dan kepura-puraan yang semakin meningkat dalam dasar imigresen Britain.
Dalam talian, aktivis dan pengulas mengecam keputusan Starmer, menuduh kerajaan bersikap berat sebelah terhadap warga Eropah dan sanggup menyekat kemasukan rakyat Palestin yang melarikan diri dari zon perang dahsyat.-AGENSI










