Jepun keluarkan stok simpanan beras negara tangani kenaikan harga

Jepun keluarkan stok simpanan beras negara tangani kenaikan harga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Kerajaan Jepun terpaksa mengeluarkan satu perlima daripada stok simpanan beras kecemasannya selepas cuaca panas, hasil tuaian yang lemah dan pembelian panik berikutan amaran ‘gempa mega’ meningkatkan harga makanan ruji itu hampir dua kali ganda dalam tempoh setahun.

Sebelum ini, stok simpanan beras Jepun hanya digunakan ketika bencana besar seperti gempa bumi namun,ini adalah kali pertama ia dilepaskan akibat gangguan dalam pengedaran.

Harga beras di Jepun terus meningkat sejak ianya melonjak pada musim panas lalu, susulan kekurangan bekalan berpunca daripada cuaca panas melampau pada 2023 yang menyebabkan permintaan tinggi.

Menteri Pertanian Jepun, Taku Eto berkata, kerajaan akan mengeluarkan sebanyak 210,000 tan beras daripada stok simpanan berjumlah sejuta tan bagi menstabilkan bekalan.

“Kami mahu memastikan pengedaran beras kembali lancar walau apa pun yang terjadi,” katanya dalam satu sidang media.

Sebelum ini, kerajaan Jepun menjangkakan harga beras akan kembali stabil apabila hasil tuaian baharu mula dipasarkan pada musim luruh, namun sebaliknya harga terus melonjak.

Menurut tinjauan kerajaan pada Februari, harga purata runcit bagi beg beras seberat lima kilogram kini mencecah 3,688 yen (RM107.23), meningkat berbanding 2,023 yen (RM 58) pada tahun lalu.

Buat pertama kali dalam sejarah, Kementerian Pertanian Jepun memutuskan pada Januari lalu untuk membenarkan penjualan beras simpanan kerajaan di bawah peraturan baharu.

Sebelumnya, stok beras hanya boleh dilepaskan jika berlaku kegagalan tuaian besar atau bencana alam, tetapi perubahan dalam peraturan kini membenarkan pelepasan sekiranya pengedaran dianggap terhenti.

Bagaimanapun, kerajaan perlu membeli semula jumlah yang sama daripada pengedar dalam tempoh setahun.

Undang-undang untuk menyimpan stok beras ini mula dilaksanakan pada 1995, susulan kegagalan tuaian besar pada 1993 yang menyebabkan rakyat Jepun berebut-rebut mendapatkan bekalan makanan asas mereka. –AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×