Israel pertingkat serbuan di Tebing Barat

Israel pertingkat serbuan di Tebing Barat

TENTERA Israel berkawal di pintu masuk kem pelarian Tulkarem di Tebing Barat.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEBING BARAT: Tentera Israel melakukan serbuan besar-besaran di Tebing Barat, termasuk Nablus dan Hebron, yang mengorbankan nyawa kanak-kanak dan memaksa pemindahan ribuan penduduk.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bunyi tembakan dan letupan kedengaran di bandar lama Nablus, yang terletak di utara Tebing Barat, berikutan tindakan terbaharu tentera Israel di kawasan itu, lapor Al-Jazeera, memetik sumber Palestin.

Insiden itu berlaku selepas berita tersebar bahawa tentera pendudukan telah berundur dari perkampungan Yasid berikutan penahanan seorang lelaki Palestin dan isterinya dari sebuah rumah yang dikepung.

Pasukan tentera rejim turut  menghantar jentolak dan letupan kedengaran ketika mereka mengepung rumah itu.

Pada masa yang sama, tentera Israel menjalankan operasi di beberapa kawasan lain di Tebing Barat yang diduduki.

Menurut sumber tempatan, tentera pendudukan menyerbu beberapa bandar, termasuk Idhna, Al-Shuyukh, dan Beit Awa di Hebron, serta kem Al-Disha dan Aida di Baitulaham serta bandar Al-Mughayyir dan Birzeit di Ramallah.

Di Nablus, rumah tahanan yang ditetapkan untuk dibebaskan sebagai sebahagian daripada kumpulan ketujuh perjanjian pertukaran banduan turut diserbu.

Pasukan pendudukan Israel memusnahkan persiapan yang dibuat oleh keluarga untuk menyambut tahanan yang dibebaskan dan mereka mengancam untuk menangkap sesiapa sahaja yang menunjukkan tanda-tanda perayaan.

Tindakan itu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi intimidasi yang lebih luas terhadap keluarga banduan, sekali gus meningkatkan lagi ketegangan di rantau ini.

Tentera Israel turut menyerbu kem Amari di Al-Bireh dan kawasan kejiranan Kafr Aqab yang terletak di utara Baitulmuqaddis. 

Dalam perkembangan tragis lain, Ayman Al-Haimouni yang berusia 13 tahun terbunuh oleh peluru Israel semasa pertempuran di kawasan Al-Kassara di Hebron.

Bulan Sabit Merah Palestin melaporkan bahawa pasukan perubatannya memindahkan kanak-kanak itu ke hospital, di mana dia kemudian meninggal dunia akibat kecederaannya. 

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyatakan kebimbangan mengenai kempen ketenteraan Israel yang semakin meningkat di utara Tebing Barat yang sudah membunuh 51 rakyat Palestin dan menyebabkan 40,000 kehilangan tempat tinggal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN