Israel berdegil enggan undur tentera dari selatan Lubnan

Israel berdegil enggan undur tentera dari selatan Lubnan

KENDERAAN tentera Israel ditempatkan di sempadan Israel-Lubnan, sehari sebelum tarikh akhir pengunduran.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Tentera Israel masih mengekalkan pasukannya di lima pos tentera di selatan Lubnan, walaupun melepasi tarikh akhir pengunduran yang ditetapkan dalam perjanjian gencatan senjata pada Selasa.

Jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Leftenan Kolonel Nadav Shoshani berkata, pasukannya akan kekal di pos tersebut untuk memastikan tiada ancaman kepada penduduk Israel.

Pasukan IDF mengenal pasti beberapa lokasi strategik di selatan Lubnan yang menghadap komuniti di utara Israel.

“Berdasarkan situasi semasa, kami akan meninggalkan sejumlah kecil tentera yang ditempatkan sementara di lima titik strategik di sepanjang sempadan.

“Kami komited terhadap perjanjian gencatan senjata. Kami rasa ia adalah satu proses yang baik,” kata Shoshani.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan sama ada kerajaan Lubnan bersetuju dengan lanjutan itu, sebaliknya mendakwa Israel sudah berbincang dengan pengantara gencatan senjata yang diketuai Amerika Syarikat (AS).

Israel dan Hezbollah menamatkan perang selama setahun pada November lalu, menerusi perjanjian gencatan senjata yang diusahakan sebahagiannya oleh AS.

Tarikh akhir untuk tentera Israel berundur dari wilayah itu pada asalnya ditetapkan pada Januari lalu, namun dilanjutkan ke 18 Februari atas permintaan rejim berkenaan.

Rata-rata pemimpin Lubnan mengkritik tindakan Israel itu, termasuk Speaker Parlimen, Nabih Berri yang sebelum ini menegaskan penolakan Lubnan berhubung lanjutan tersebut.

“Saya menolak untuk bercakap mengenai sebarang tarikh akhir untuk melanjutkan tempoh pengunduran.

“Menjadi tanggungjawab pihak AS untuk memaksa pengunduran tersebut. Jika Israel terus berada di lokasi itu, bermakna ia bebas menceroboh Lubnan dan ini tidak boleh diterima,” katanya seperti dilapor agensi berita rasmi, NNA.

Konflik yang berlangsung selama setahun itu berakhir dengan serangan dan kempen pengeboman dahsyat Israel, yang menyebabkan lebih sejuta orang awam Lubnan terpaksa meninggalkan rumah mereka.

Walaupun gencatan senjata, IDF terus mengebom sasaran Hezbollah, menuduh kononnya kumpulan disokong Iran itu menggunakan tapak ketenteraan yang melanggar perjanjian.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN