DAMSYIK: Tentera Israel melancarkan serangan udara terhadap tapak ketenteraan yang mengandungi senjata di selatan Syria kelmarin, hanya beberapa hari selepas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menggesa kawasan itu dimusnahkan.
Sekurang-kurangnya dua terbunuh dalam serangan ke atas satu daripada tapak itu, melibatkan ibu pejabat unit tentera di barat daya Damsyik, menurut sebuah badan pemantau perang.
Bagaimanapun, badan pemantau tidak mengesahkan sama ada mangsa korban adalah orang awam atau anggota tentera.
“Dalam beberapa jam terakhir, Pasukan Angkatan Pertahanan Israel (IDF) menyerang sasaran ketenteraan di selatan Syria, termasuk pusat arahan dan beberapa lokasi yang mengandungi senjata.
“Kehadiran pasukan dan aset ketenteraan di selatan Syria menimbulkan ancaman kepada rakyat Israel. IDF akan terus bertindak untuk menghapuskan sebarang ancaman terhadap rakyat kita,” kata tentera dalam satu kenyataan.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria melaporkan, dua tapak ketenteraan di selatan Damsyik menjadi sasaran, manakala wartawan AFP mendengar letupan kuat dan pesawat perang terbang di kawasan bandar.
“Pesawat Israel melancarkan empat serangan ke atas ibu pejabat unit tentera di barat daya Damsyik.
“Pada masa yang sama, satu lagi serangan Israel mengenai kedudukan tentera di wilayah Daraa,” kata badan pemantau itu.
Serangan di wilayah Daraa menyasarkan Tell al-Hara, bukit strategik yang menghadap kawasan luas di Golan dan utara Israel, menurut pemantau.
Serangan itu berlaku selepas Netanyahu menggesa selatan Syria dimusnahkan sepenuhnya, selain memberi amaran tidak akan membenarkan kehadiran pasukan kerajaan baharu berhampiran wilayahnya.
“Kami tidak akan membenarkan pasukan daripada organisasi Hayat Tahrir al-Sham (HTS) atau tentera baharu Syria memasuki kawasan selatan Damsyik.
“Kami menuntut demilitarisasi sepenuhnya di selatan Syria, termasuk wilayah Quneitra, Daraa dan Suwayda,” kata Netanyahu.
Pada hari sama rejim Bashar al-Assad digulingkan, Israel mengumumkan tenteranya memasuki zon penampan yang dikawal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang memisahkan Israel dan Syria di Bukit Golan sejak 1974.- AFP










