Israel arah tentera sedia laluan keluar penduduk Gaza

Israel arah tentera sedia laluan keluar penduduk Gaza

PENDUDUK Palestin berjalan melalui runtuhan bangunan di Jabalia di utara Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz mengarahkan tenteranya untuk bersiap sedia merangka pelan bagi memudahkan pemindahan ‘sukarela’ penduduk Palestin dari Gaza selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menolak untuk menghantar tentera ke wilayah itu.

Katz berkata, beliau sudah mengarahkan tentera merangka rancangan bagi membolehkan mana-mana penduduk Gaza yang ingin berhijrah ke negara lain dapat berbuat demikian.

“Saya telah mengarahkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) untuk menyediakan rancangan bagi membolehkan pemindahan secara sukarela penduduk Gaza.

“Mereka boleh pergi ke mana-mana negara yang bersedia menerima mereka. Pelan ini akan merangkumi pilihan keluar melalui jalan darat serta pengaturan khas melalui laut dan udara,” katanya.

Trump sebelum ini mengemukakan cadangan supaya AS mengambil alih Gaza dan mahu penduduk Palestin berpindah ke negara jiran di Mesir atau Jordan, mencetuskan kemarahan pemimpin di Asia Barat dan masyarakat dunia.

Katz berkata, beliau menyambut baik ‘pelan berani’ Trump, yang membolehkan sebahagian besar penduduk Gaza berpindah ke pelbagai tempat di seluruh dunia.

Katz menambah, pelan itu dapat membantu penduduk Gaza yang ingin meninggalkan kawasan terbabit untuk berintegrasi dengan baik di negara-negara tuan rumah, serta memudahkan kemajuan program pemulihan selepas wilayah itu bebas daripada ancaman keganasan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa sebarang pemindahan paksa penduduk Palestin setara dengan pembersihan etnik.

Semalam, Trump sekali lagi mengulangi cadangannya, mendakwa Gaza akan diserahkan kepada AS oleh Israel selepas tamatnya pertempuran.

“Tiada askar AS diperlukan! Kestabilan untuk rantau ini akan terjamin,” katanya di laman Truth Social.

Trump berkata, penyerahan itu akan dibuat selepas rakyat Palestin ditempatkan semula di komuniti yang jauh lebih selamat dan cantik, dengan rumah baharu lebih moden di rantau ini.

“Mereka sebenarnya akan mempunyai peluang untuk bahagia, selamat dan bebas.

“AS bekerjasama dengan pasukan pembangunan yang hebat dari seluruh dunia, perlahan-lahan dan berhati-hati akan memulakan pembinaan apa yang akan menjadi satu perkembangan terbesar dan paling menakjubkan seumpamanya,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, Trump sedang cuba ‘menggerakkan’ negara serantau dengan kapasiti ekonomi dan teknologi untuk mengambil bahagian dalam usaha pembinaan semula Semenanjung Gaza selepas konflik.

Bercakap pada sidang akhbar bersama Presiden Dominica, Luis Abinader, Rubio mempertahankan cadangan kontroversi Trump untuk mengambil alih Gaza kerana mendakwa kawasan itu sudah tidak boleh didiami akibat kemusnahan dan kehadiran senjata api yang tidak meletup.

“Saya fikir Trump telah menawarkan untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian itu dan jika negara lain bersedia melangkah ke hadapan dan melakukannya sendiri, maka itu lebih baik. Tetapi tiada siapa yang kelihatan tergesa-gesa untuk melakukannya. 

“Nampaknya pada saya terdapat banyak negara di dunia yang menyatakan kebimbangan tentang Gaza dan rakyat Palestin, tetapi sangat sedikit yang bersedia melakukan sesuatu yang konkrit mengenainya.

“Jadi saya fikir Trump cuba membangkitkan perkara itu dan diharapkan mendapat reaksi daripada beberapa negara yang mempunyai kedua-dua kapasiti ekonomi dan teknologi untuk menyumbang kepada rantau ini pasca konflik,” tambahnya.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN