IOM enggan terlibat pemindahan paksa rakyat Palestin dari Gaza

IOM enggan terlibat pemindahan paksa rakyat Palestin dari Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Ketua Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), Amy Pope menegaskan agensinya tidak akan terlibat dalam sebarang pemindahan paksa rakyat Palestin keluar dari Gaza.

Menerusi kenyataan kepada AFP pada Selasa, Pope berkata, sebarang bentuk pemindahan seperti itu akan menjadi ‘garis merah’ bagi kerajaan di rantau ini, selepas cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk mengambil alih Semenanjung Gaza dan memindahkan lebih dua juta penduduk Palestin.

“Kami telah berjanji kepada komuniti yang dibantu bahawa kami tidak akan terlibat dalam sebarang bentuk pemindahan paksa penduduk atau evakuasi,” kata Pope yang berasal dari AS.

Memuatkan artikel berkaitan…

Cadangan Trump untuk membangunkan Gaza menjadi Riviera Asia Barat sementara penduduknya dipindahkan telah mendapat kritikan meluas sejak pertama kali dibentangkan pada awal Februari lalu.

“Seperti yang kita lihat sekarang, pemindahan penduduk Palestin adalah garis merah bagi kerajaan Jordan dan Mesir.

“Kami adalah organisasi kemanusiaan, jadi pastinya tidak akan terlibat dalam aktiviti yang akan menjadi garis merah bagi negara anggota utama,” katanya.

Menghadapi tentangan kuat di Asia Barat dan sekitarnya, Trump dalam satu wawancara pada Jumaat menyatakan beliau tidak memaksa pelan tersebut.

Sementara itu, Pope menerusi lawatan ke Gaza minggu lalu berkata, beliau menyaksikan kemusnahan teruk, bangunan runtuh dan musnah sepenuhnya serta puluhan kereta yang terbakar.

“Saya melihat penduduk di tepi jalan, di bawah celah-celah runtuhan bangunan, mengelilingi unggun api untuk menghangatkan badan,” katanya.

Agensi pertahanan awam Gaza pada Selasa melaporkan enam bayi baru lahir meninggal dunia akibat cuaca sejuk yang melanda wilayah tersebut sepanjang minggu lalu.

Lebih 15 bulan peperangan yang tercetus susulan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel, telah menyebabkan sebahagian besar Gaza hancur dan kebanyakan penduduknya kehilangan tempat tinggal.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kos pembinaan semula Gaza melebihi AS$53 bilion (RM236.39 bilion).

Gencatan senjata yang rapuh berkuat kuasa sejak 19 Januari membolehkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza ditingkatkan meskipun Hamas menuduh Israel menyekat kemasukan beberapa bekalan penting. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN