KHON KAEN: Koi pla, hidangan ikan mentah tradisional popular di Thailand menjadi kebimbangan kesihatan yang serius di wilayah Khon Kaen dan kawasan timur laut Thailand apabila dilaporkan menjadi punca kanser hati yang tinggi di kawasan tersebut.
Menurut artikel terkini dari LADbible, hidangan tersebut terdiri daripada ikan mentah yang dicampur dengan herba, rempah, dan jus limau.
Malangnya, ikan mentah itu mungkin mengandungi parasit yang dikaitkan dengan kanser hati jika tidak disediakan dengan betul.
Menurut BBC, kawasan di Thailand yang sering menikmati koi pla memiliki kadar penghidap kanser hati yang lebih tinggi.
Kajian di berapa komuniti menunjukkan sehingga 80 peratus penduduk ada parasit yang boleh menyebabkan penyakit tersebut.
Kanser hati biasanya tidak akan menunjukkan gejala sehinggalah individu mencapai usia 50 tahun ke atas.
X-ray ke atas pesakit mendedahkan kesan pengambilan koi pla, menunjukkan kesan hidangan itu boleh menjadi ancaman penyakit serius.
Lebih membimbangkan apabila kanak-kanak berusia empat tahun turut dikesan membawa parasit tersebut.
Penyelidikan mengenai parasit itu menunjukkan bahawa ia menghasilkan bahan kimia yang boleh mencetuskan sistem imun dan berpotensi menyebabkan keradangan kronik sehingga menjadi kanser.
Mendiang Dr Narong Khanteekaew, seorang profesor di Jabatan Pembedahan Fakulti Perubatan Universiti Khon Kaen, berusaha memerangi hidangan berbahaya itu selepas kehilangan kedua-dua ibu bapanya akibat kanser hati yang berpunca daripada pengambilan koi pla.
Kanser hati adalah salah satu kanser dengan kadar kelangsungan hidup terendah jika tidak dirawat secara pembedahan.
Dr Narong, bersama saintis, profesional perubatan dan ahli antropologi menghabiskan bertahun-tahun untuk mengesan parasit di kebanyakan kampung di seluruh wilayah Isaan.
Menggunakan mesin ultrasound dan kit ujian air kencing, Dr Narong mendapati sehingga 80 peratus penduduk memakan parasit berbahaya ini.
Walaupun beliau giat menyebarkan kesedaran mengenai risiko koi pla termasuk bekerjasama dengan pegawai kesihatan tempatan untuk memperkenalkan kurikulum sekolah bagi mendidik kanak-kanak tentang bahaya makanan mentah, beliau ditentang generasi yang lebih tua, lapor Sanook.
Meskipun terdapat risiko kesihatan, sesetengah individu enggan mengubah cara penyediaan hidangan itu dan berpendapat memasak akan mengurangkan rasa hidangan tersebut walaupun ia cara paling berkesan membunuh parasit.
Namun, ada yang berpendapat bahawa risiko serius kanser hati mungkin akan mengurangkan keseronokan menikmati hidangan seperti itu.– AGENSI










