GAZA: Pemimpin Hamas pada hari Sabtu berkata bahawa kumpulannya bersedia untuk melepaskan peranannya dalam tadbir urus di Gaza.
Perkara itu diutarakan ahli kanan Biro Politik Hamas, Basem Naim dalam temu bualnya bersama Al Jazeera.
SEDIA TINGGALKAN GAZA
“Kami telah berkata berkali-kali, walaupun sebelum 7 Oktober 2023 bahawa kami bersedia segera meninggalkan kedudukan pemerintahan di Semenanjung Gaza.
“Kami akan memberi laluan mana-mana kerajaan perpaduan Palestin atau kerajaan teknokratik atau mana-mana alternatif yang diputuskan oleh rakyat Palestin dalam konsensus Palestin,” katanya.
Basem berkata, kumpulan itu turut mengalu-alukan cadangan Mesir untuk membentuk jawatankuasa yang ditugaskan mengawal semua aspek kehidupan di Gaza dengan penyelarasan kerajaan Pihak Berkuasa Palestin(PA) di Ramallah.
Beliau menambah bahawa Hamas diasaskan sebagai gerakan penentangan kebangsaan Palestin dengan matlamat yang jelas, termasuk untuk menyingkirkan pendudukan, mencapai matlamat negara Palestin yang merdeka dan mampu menentukan nasib sendiri serta hak untuk kembali.
“Kami akan meneruskan perjuangan kami dengan semua puak lain dan semua rakyat kami untuk mencapai matlamat ini melalui semua cara, termasuk usaha politik, diplomatik dan penentangan bersenjata.
“Tetapi untuk menjalankan kehidupan seharian rakyat Palestin, seperti kesihatan, pendidikan dan hal ehwal sosial, kami bersedia menyerahkannya kepada penyelesaian berasaskan konsensus,” jelasnya.
NETANYAHU SABOTAJ PERJANJIAN
Dalam pada itu, Hamas berkata, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sengaja mensabotaj perjanjian gencatan senjata Gaza, selepas rejim itu enggan terlibat dalam rundingan untuk fasa kedua perjanjian itu yang akan berakhir pada 1 Mac.
Butiran fasa kedua dan ketiga perjanjian itu, walaupun difahamkan dipersetujui pada dasarnya, sepatutnya dirundingkan semasa fasa pertama gencatan senjata selama enam minggu.
Ia menyaksikan pembebasan tebusan Israel sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin, penarikan sebahagian tentera Israel dari Gaza dan penghantaran bantuan ke wilayah yang musnah akibat pengeboman Israel selama 15 bulan.
Mengikut perjanjian itu, yang bermula pada 19 Januari lalu, fasa kedua, jika dimuktamadkan akan menyaksikan pembebasan semua tebusan Israel dan gencatan senjata kekal.
“Kami percaya sekali lagi, ini adalah permainan kotor daripada pimpinan sayap kanan Israel yang sengaja mensabotaj dan menjejaskan perjanjian ini dan mahu menghantar mesej kesediaan untuk kembali berperang,” tegas Basem.
Beliau berkata, kumpulan Palestin yang mentadbir Gaza tetap komited dengan perjanjian itu dan telah mematuhi kewajipannya di bawah perjanjian itu, sebaliknya Israel yang bertindak melanggar syarat ditetapkan.
“Lebih 100 rakyat Palestin telah terbunuh dalam fasa pertama, kebanyakan bantuan kemanusiaan yang dipersetujui tidak dibenarkan masuk ke Gaza dan penarikan diri dari zon tentera Koridor Netzarim yang membahagikan Gaza ke utara dan selatan telah ditangguhkan,” katanya.
Awal bulan ini, pegawai Israel mengesahkan kepada The New York Times bahawa dakwaan Hamas terhadap pelanggaran perjanjian itu adalah tepat tetapi rejim itu menafikan mereka secara rasmi.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata, Israel telah bersetuju untuk membenarkan 60,000 rumah bergerak dan 200,000 khemah ke Gaza, tetapi keperluan itu tidak dipenuhi.
TAK MINAT SAMBUNG FASA KEDUA
Netanyahu telah mengancam untuk menyambung semula perang ke atas Gaza dan berkata, beliau komited dengan cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk mengambil alih wilayah itu dan memindahkan penduduk Palestin, walaupun Presiden AS, Donald Trump kini nampaknya telah berundur daripada rancangan itu.
Pemimpin Israel itu berulang kali berkata, beliau komited untuk memenuhi matlamat perang di Gaza, termasuk memusnahkan ketenteraan Hamas dan keupayaannya mentadbir di rantau itu.
Kabinetnya juga masih belum mengundi sama ada syarat untuk fasa pertama perjanjian gencatan senjata Gaza telah dipenuhi untuk beralih ke fasa kedua.
Selasa lalu, media Israel melaporkan Netanyahu telah melantik Menteri Hal Ehwal Strategiknya, Ron Dermer untuk mengetuai rundingan mengenai fasa kedua perjanjian gencatan senjata dengan Hamas.
Ketua Shin Bet, Ronen Bar dan Ketua Mossad, Dedi Barnea mengetuai pusingan rundingan sebelumnya.
Penganalisis politik, Xavier Abu Eid berkata, tindakan menghantar Dermer, orang kepercayaan lama Netanyahu untuk mengetuai pasukan perunding Israel jelas membuat perubahan penting dalam masa depan rundingan itu.
“Ia membuat perbezaan besar kerana Dermer adalah seseorang yang bekerja untuk Netanyahu, bukan untuk Israel,” katanya.
Bekas duta dan konsul jeneral Israel di New York, Alon Pinkas memberitahu, fakta bahawa fasa pertama yang diadakan tidak semestinya memberi petanda baik untuk fasa kedua yang lebih mencabar.
“Sebabnya Netanyahu tidak berminat dengan fasa kedua. Fasa itu akan merangkumi pengurangan tentera Israel di Gaza pada hari ke-42, iaitu seminggu dari sekarang. Pada hari ke-50, ia termasuk bukan sahaja pengurangan kuasa, tetapi penarikan diri.
“Gencatan senjata akan bertukar daripada menghentikan permusuhan, seperti yang diketahui sekarang, kepada menamatkan perang, yang bukan sesuatu yang disukai perdana menteri Israel.
“Dari segi politik, beliau tidak mampu untuk menarik balik mahupun menamatkan perang secara rasmi,” tambahnya.











