JAKARTA: Gempa bumi dengan magnitud 6.1 melanda berhampiran pulau Sulawesi, Indonesia pagi tadi menyebabkan penduduk panik dan berlari keluar dari kediaman masing-masing.
Namun tiada kerosakan atau kecederaan dilaporkan setakat ini.
Menurut laporan Badan Pemantau Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa berlaku pada pukul 6.55 pagi (waktu tempatan) pada kedalaman 10 kilometer dengan pusat gempa terletak di luar pesisir berhampiran wilayah Sulawesi Utara.
Agensi meteorologi Indonesia melaporkan magnitud lebih rendah iaitu 6.0 dan mengesahkan bahawa tiada potensi tsunami.
Penduduk di Sulawesi Utara menggambarkan detik cemas ketika gempa itu berlaku.
“Saya baru sahaja terjaga apabila menyedari ia adalah gempa. Ia sangat kuat, bergoyang ke kiri dan kanan,” kata Gita Waloni, seorang tetamu hotel berusia 25 tahun di daerah Minahasa Utara kepada AFP.
“Barang-barang dalam bilik saya bergoncang. Saya terus keluar kerana takut jika berlaku gegaran susulan semasa berada dalam lif. Semua tetamu lain juga sudah melarikan diri,” kata Gita Waloni, seorang tetamu hotel berusia 25 tahun di daerah Minahasa Utara kepada AFP.
Indonesia sering mengalami gempa bumi akibat kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik, satu lengkungan aktiviti seismik yang kuat di mana plat tektonik bertembung, merentangi Jepun, Asia Tenggara dan seluruh kawasan lembangan Pasifik.
Pada Januari 2021, gempa dengan magnitud 6.2 melanda Sulawesi mengorbankan lebih 100 nyawa dan menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal.
Pada 2018, gempa bumi bermagnitud 7.5 dan tsunami yang melanda Palu, Sulawesi, mengorbankan lebih 2,200 orang.
Gempa kuat dengan magnitud 9.1 pada 2004 yang melanda wilayah Aceh menyebabkan tsunami dan mengorbankan lebih 170,000 orang di Indonesia. -AFP










