MANILA: Filipina dikeluarkan daripada ‘senarai kelabu’ badan pemantau kewangan global berkaitan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan, status yang boleh menghalang transaksi rentas sempadan.
Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF), sebuah organisasi antarabangsa yang menyelaraskan usaha global untuk membanteras pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan, mengeluarkan Filipina daripada pemantauan intensifnya selepas hampir empat tahun berada dalam senarai itu.
Filipina dimasukkan ke dalam senarai kelabu pada Jun 2021 berikutan beberapa kebimbangan, termasuk risiko pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan operasi kasino, kegagalan mengawal selia pengendali pemindahan wang tanpa lesen serta kekurangan tindakan pendakwaan dalam kes pembiayaan keganasan.
Dalam satu kenyataan semalam, Majlis Pencegahan Pengubahan Wang Haram di Manila memuji keputusan FATF sebagai pencapaian besar yang akan membawa banyak faedah.
“Keputusan mengeluarkan Filipina daripada senarai kelabu FATF dijangka akan memudahkan transaksi rentas sempadan yang lebih pantas dan kos rendah, mengurangkan halangan pematuhan dan meningkatkan ketelusan kewangan.
“Langkah ini juga akan memberikan kelegaan besar kepada lebih dua juta rakyat Filipina yang bekerja di luar negara dan sering menghantar kiriman wang kepada keluarga mereka di sini setiap tahun,” jelas majlis itu.
Katanya, pemeteraian perintah eksekutif oleh Presiden, Ferdinand Marcos Jr. pada 2023 yang menyasarkan pengubahan wang haram dan pembiayaan menentang keganasan memainkan peranan penting dalam keputusan itu.
Marcos tahun lalu juga mengharamkan pengendali permainan judi dalam talian atau dikenali sebagai POGO yang dikatakan digunakan sebagai barisan kumpulan jenayah terancang untuk pemerdagangan manusia, pengubahan wang haram, penipuan dalam talian, penculikan dan juga pembunuhan.
Pada Oktober lalu, FATF menyatakan bahawa Filipina hampir menyelesaikan sepenuhnya pelan tindakannya.-AFP











