Dana kekayaan berdaulat AS boleh diguna beli TikTok 

Dana kekayaan berdaulat AS boleh diguna beli TikTok 

BEBERAPA pencipta kandungan memegang papan tanda bertulis 'Keep TikTok' di luar Bangunan Mahkamah Agung AS di Washington.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden, Donald Trump menandatangani satu lagi perintah eksekutif bertujuan memulakan penubuhan dana kekayaan berdaulat Amerika Syarikat (AS), yang menurutnya boleh digunakan untuk menyelamatkan TikTok.

Bercakap kepada pemberita selepas menandatangani perintah itu kelmarin, Trump menegaskan, negara lain yang lebih kecil daripada AS sudah mempunyai dana kekayaan berdaulat.

“Negara lain mempunyai dana kekayaan berdaulat, dan mereka adalah negara yang jauh lebih kecil, bukan AS,” katanya.

Dana kekayaan berdaulat ialah dana pelaburan milik kerajaan yang menguruskan lebihan rizab negara, kebiasaannnya diperoleh daripada hasil sumber semula asli atau lebihan perdagangan, untuk menjana pulangan jangka panjang.

Dana Norway, sebahagian besarnya dibina daripada hasil bahan api fosil negara, adalah yang terbesar di dunia,  dengan Abu Dhabi, China dan Arab Saudi juga mempunyai versi yang agak besar.

Tahun lepas, dana Norway mencatatkan pulangan sebanyak 13 peratus menjadikan nilai keseluruhannya kepada AS$1.75 trilion (RM7.79 trilion).

“Saiz dan skala luar biasa kerajaan AS dan perniagaan yang dilakukannya dengan syarikat harus mewujudkan nilai untuk rakyat AS,” kata Setiausaha Perdagangan Trump, Howard Lutnick.

Sementara itu, Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent berkata, dana tersebut akan ditubuhkan dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Trump menyebut pembelian aplikasi perkongsian video popular, TikTok, sebagai contoh transaksi yang difasilitasi oleh dana AS, walaupun tidak memberikan butiran lanjut mengenai perkara itu.

“Kita mungkin akan masukkan itu dalam dana kekayaan berdaulat, apa saja yang kita dapat atau jika kami melakukan perkongsian dengan orang yang sangat kaya,” kata Trump.

TikTok sedang menghadapi undang-undang AS yang memerintahkan syarikat itu menjual pegangan dari pemiliknya, ByteDance dari China atau diharamkan di negara tersebut.

Trump memberi TikTok tempoh sehingga awal April untuk mematuhi undang-undang itu, bertujuan menangani kebimbangan AS bahawa kerajaan China akan mengeksploitasi aplikasi tersebut untuk mengintip rakyat AS atau mempengaruhi pendapat awam secara tersembunyi.

Presiden AS itu juga sedang berbincang dengan beberapa individu mengenai pembelian TikTok, termasuk jutawan Elon Musk dan usahawan, Larry Ellison serta gergasi teknologi Microsoft.AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN