BEIJING: Tentera China memberi amaran dan mengusir tiga pesawat Filipina yang menceroboh ruang udara berhampiran Kepulauan Spratly pada Khamis.
Komando Teater Selatan Tentera China mendakwa pihak Filipina cuba ‘menjaja tuntutan haram’ mereka melalui provokasi dan memberi amaran tindakan tersebut akan menemui kegagalan.
Bagaimanapun, tiada komen balas daripada kedutaan Filipina di Beijing mengenai kenyataan tentera China yang dikeluarkan pada Jumaat.
China menuntut kedaulatan ke atas hampir keseluruhan Laut China Selatan, laluan air penting yang mengendalikan lebih AS$3 trilion (RM13.25 trilion) perdagangan perkapalan tahunan yang turut dituntut oleh Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Vietnam.
Keputusan timbang tara pada 2016 menolak tuntutan penuh China tetapi Beijing tidak mengiktiraf keputusan itu.
Pada Khamis, pengawal pantai Filipina berkata, pesawat perikanannya telah menjalankan apa yang dipanggil penerbangan kesedaran domain maritim bersama di atas Kepulauan Kalayaan, nama Filipina untuk Kepulauan Spratly.
Katanya, misi itu bertujuan menegaskan kedaulatan, hak kedaulatan, dan bidang kuasa maritim Filipina di Laut Filipina Barat.
Lapor Reuters, lebih 50 kapal tentera laut China dan sebuah kapal pengawal pantai China dilihat semasa latihan tersebut.
Namun tidak jelas sama ada misi yang menggunakan dua pesawat tersebut adalah yang dimaksudkan oleh tentera China dalam kenyataannya.
Konfrontasi terbaru intu berlaku selepas pengawal pantai Filipina menuduh tentera laut China melakukan gerakan penerbangan berbahaya awal minggu ini apabila ia terbang berdekatan pesawat kerajaan yang membuat rondaan di Scarborough Shoal yang menjadi rebutan di Laut China Selatan.
Bagaimanapun, Beijing membantah laporan tersebut.










