Bom berat AS tiba di Israel ketika lawatan Rubio

Bom berat AS tiba di Israel ketika lawatan Rubio

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Penghantaran bom berat dari Amerika Syarikat (AS) tiba di Israel ketika Marco Rubio mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke rantau itu sejak menjadi Setiausaha Negara AS.

Kementerian Pertahanan Israel mengesahkan menerima senjata itu selepas pentadbiran Presiden, Donald Trump bulan lalu menarik balik sekatan ke atas penghantaran tersebut.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz dalam satu kenyataan berkata, penghantaran peluru MK-84 itu merupakan aset penting bagi Tentera Udara dan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) selain menjadi bukti kukuh hubungan erat antara rejim itu dan AS.

Katz turut mengucapkan terima kasih kepada Trump dan pentadbiran AS atas ‘sokongan tidak berbelah bahagi’ mereka.

Keputusan pentadbiran baharu untuk melepaskan penghantaran bom berat itu memadam dasar era bekas Presiden, Joe Biden yang bertujuan memberi tekanan kepada Israel semasa perangnya di Gaza.

Biden sebelum ini menyekat penghantaran bom seberat 907 kilogram itu kerana bimbang ia boleh digunakan secara melulu oleh tentera Israel di kawasan padat penduduk di Gaza.

Ketua Pejabat Media Kerajaan Gaza, Salama Maroof mengkritik keputusan AS menghantar bom berat tersebut.

“Daripada menghantar makanan, ubat-ubatan, air, tempat perlindungan atau bahan binaan kepada mangsa di Semenanjung Gaza, AS yang menggelarkan dirinya sebagai demokrasi pertama di dunia dan perintis hak asasi manusia sebaliknya bertindak menyokong tentera pendudukan melakukan jenayah dengan membekalkan 1,800 bom berat MK,” tegasnya.

Rubio tiba di Tel Aviv semalam dan disambut oleh Menteri Luar Israel, Gideon Sa’ar dalam peringkat pertama lawatannya ke rantau ini.

Hari ini, beliau bertemu Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu di pejabatnya di Baitulmuqaddis, di mana cadangan kontroversi Trump untuk mengambil alih Semenanjung Gaza dijangka menjadi topik perbincangan utama.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN