TEBING BARAT: Sebuah bas yang membawa sekumpulan tahanan Palestin yang dibebaskan oleh Israel di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza tiba di hadapan orang ramai yang bersorak di bandar Ramallah, Tebing Barat yang diduduki pada Khamis.
Seorang pegawai Hamas memberitahu AFP, kumpulan itu telah menyerahkan mayat empat tebusan yang ditahan di Gaza sejak serangan 7 Oktober 2023 sebagai pertukaran.
Memakai selendang dan jaket keffiyeh tradisional untuk menutup pakaian seragam penjara mereka, banduan yang dibebaskan itu turun dari bas sambil disambut orang ramai yang padat sebelum menuju ke lokasi pemeriksaan kesihatan segera.
Ribuan penduduk Palestin melaungkan ‘Allahu Akbar’ dan “rakyat mahukan sayap tentera Hamas Briged Ezzedine Al-Qassam, ketika gabenor Ramallah, Leila Ghannam melihat mereka turun dari bas.
Beberapa banduan diangkat dan sebahagian daripada mereka menjalankan temu bual sambil dipeluk rakan atau saudara mara dalam tangisan.
Lebih 620 tahanan Palestin dibebaskan semalaman di bawah perjanjian gencatan senjata, kebanyakannya di Gaza, menurut pegawai Hamas.
Ia menandakan pertukaran terakhir di bawah fasa pertama perjanjian gencatan senjata Gaza yang berkuat kuasa pada 19 Januari.
Perjanjian itu menyediakan pembebasan 33 tebusan, termasuk lapan mayat, menjelang 1 Mac, sebagai pertukaran untuk 1,900 rakyat Palestin yang ditahan oleh Israel.-AFP










