SYDNEY: Kerajaan Australia akan melarang pelabur asing daripada membeli rumah sedia ada selama dua tahun sebagai sebahagian daripada usaha menangani lonjakan harga perumahan di negara itu.
Menteri Perumahan, Clare O’Neil dalam satu kenyataan berkata, mulai 1 April, pelabur asing akan dilarang membeli hartanah sedia ada sehingga 31 Mac 2027 dan kerajaan akan mengkaji semula selepas tempoh tersebut bagi menentukan sama ada ia perlu dilanjutkan.
Perumahan di Australia merupakan antara yang paling mahal di dunia dan kenaikan harga hartanah dijangka menjadi isu utama pilihan raya, terutamanya dalam kalangan pengundi muda yang bimbang tidak akan mampu memiliki rumah sendiri.
“Di Sydney, nilai perumahan meningkat hampir 70 peratus dalam tempoh 10 tahun terakhir, dengan harga median kediaman kini mencecah sekitar A$1.2 juta (RM4.4 juta) sementara kadar sewa juga terus meningkat.
“Namun, larangan ini dijangka hanya memberi kesan kecil terhadap harga rumah,” jelas firma perunding hartanah CoreLogic Inc.
Menurut Pejabat Percukaian Australia, pelabur asing membeli hartanah kediaman bernilai A$4.9 bilion (RM21.73 bilion), termasuk tanah kosong, hartanah baharu dan sedia ada dalam tempoh 12 bulan sehingga 30 Jun 2023.
Hartanah sedia ada menyumbang kira-kira satu pertiga daripada jumlah tersebut.
O’Neil berkata, pejabat percukaian akan menerima dana tambahan bagi menguatkuasakan larangan itu.
Pilihan raya di Australia mesti diadakan selewat-lewatnya pada 17 Mei dan tinjauan menunjukkan persaingan sengit, dengan kos sara hidup dan perumahan menjadi antara tiga kebimbangan utama rakyat.-AGENSI










