KYIV: Ukraine bersetuju dengan syarat perjanjian mineral utama dengan Amerika Syarikat (AS), yang menjadi ‘kunci’ kepada usaha Kyiv untuk mendapatkan sokongan Washington ketika Presiden, Donald Trump berusaha menamatkan perang dengan Russia.
Menurut sumber, kandungan draf perjanjian itu tidak menyatakan sebarang jaminan keselamatan atau aliran senjata, sebaliknya AS menegaskan mahu Ukraine menjadi negara bebas, berdaulat dan aman.
Sumber yang biasa dengan perjanjian itu mendakwa, penghantaran senjata pada masa hadapan masih dibincangkan antara Washington dan Kyiv.
“Kami sememangnya bersetuju dengan beberapa pindaan yang baik dan melihatnya sebagai satu hasil yang positif,” kata pegawai kanan Kyiv tanpa memberikan butiran lanjut.
Trump memberitahu pemberita, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, dijangka berada di Washington minggu ini untuk menandatangani perjanjian tersebut.
Pengumuman itu mengejutkan dunia selepas kedua-dua pemimpin tersebut saling berperang mulut, minggu lalu.
Presiden AS juga berkata, beberapa bentuk pasukan pengaman diperlukan di Ukraine jika perjanjian untuk menamatkan konflik dicapai.
Moscow, yang melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine tiga tahun lalu, enggan menerima sebarang penempatan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Beberapa negara Eropah sudah menyatakan kesediaan mereka untuk menghantar pasukan pengaman ke Ukraine.
Trump berkata, Moscow akan menerima pasukan pengaman tersebut, tetapi Kremlin menafikannya kelmarin.
Tindakan tergesa-gesa Trump untuk menamatkan perang Russia di Ukraine dan kecenderungannya terhadap Moscow menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan konsesi besar AS kepada Presiden, Vladimir Putin, yang boleh melemahkan keselamatan Ukraine dan Eropah serta mengubah landskap geopolitik.
LANUN EKONOMI
Perjanjian itu dilaporkan boleh membuka kekayaan mineral Ukraine yang luas kepada AS.
Laporan media menyatakan, Washington menggugurkan tuntutan awalnya sebanyak AS$500 bilion (RM2.2 trilion) dalam potensi pendapatan daripada penggunaan sumber semula jadi, tetapi tidak memberikan jaminan keselamatan yang kukuh kepada Ukraine.
Sebelum ini, Zelensky menolak untuk menandatangani draf awal perjanjian mineral, atas alasan tidak setimpal dengan jumlah bantuan AS sepanjang perang, selain tiada jaminan keselamatan seperti yang dituntut Kyiv.
Sumber berkata, AS dan Ukraine akan menubuhkan Dana Pelaburan Pembinaan Semula untuk mengumpul dan melabur hasil daripada sumber Ukraine, termasuk mineral, hidrokarbon dan bahan lain yang boleh diekstrak.
Ukraine akan menyumbang 50 peratus daripada hasil tersebut selepas ditolak perbelanjaan operasi sehingga jumlah sumbangan mencapai AS$500 bilion.
Sebagai balasan, AS akan memberikan komitmen kewangan jangka panjang bagi pembangunan Ukraine yang stabil dan makmur dari segi ekonomi.
Felo Kajian Tadbir Urus di Institut Brookings, Scott Anderson berkata, walaupun perjanjian mineral itu kelihatan seperti ‘lanun ekonomi’ kepada sebahagian besar dunia, ia diperlukan untuk mendapatkan sokongan Trump dan penggubal undang-undang Republikan.
Dianggarkan kira-kira lima peratus daripada bahan mentah kritikal dunia berada di Ukraine.
Ini termasuk 19 juta tan rizab grafit, yang digunakan untuk membuat bateri kenderaan elektrik, dan satu pertiga daripada keseluruhan deposit litium di Eropah, komponen utama dalam bateri semasa.
Sebelum pencerobohan Russia, Ukraine juga menghasilkan tujuh peratus titanium dunia, yang digunakan dalam pembinaan pelbagai struktur daripada kapal terbang hingga ke stesen janakuasa.
Tanah Ukraine turut mengandungi deposit logam nadir bumi, terdiri daripada 17 elemen yang digunakan dalam pembuatan senjata, turbin angin, elektronik dan produk penting lain dalam dunia moden.
SOKONGAN DI PBB
Puluhan negara menyatakan sokongan kepada Ukraine dalam satu pertemuan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, kelmarin.
Acara itu, yang diadakan untuk memperingati penentangan terhadap pencerobohan Russia, berlangsung susulan resolusi yang diluluskan di New York sempena ulang tahun ketiga perang di Ukraine.
Resolusi tersebut mencerminkan perubahan dasar AS terhadap Ukraine di bawah Trump serta pendekatan beliau yang bersifat lembut dengan Moscow.
AS gagal meyakinkan Perhimpunan Agung PBB (UNGA) untuk meluluskan resolusi yang sama seperti diluluskan di Majlis Keselamatan (UNSC) pada Isnin lalu.
Sebaliknya, UNGA meluluskan usul yang lebih memihak kepada Ukraine, sekali gus memberi kemenangan diplomatik terhadap Kyiv.
Kebanyakan negara yang menghadiri acara di Geneva adalah dari Eropah, termasuk Perancis dan Jerman, tetapi negara lain seperti Turkiye, Korea Selatan, Australia dan Jepun juga turut serta.
Washington menghantar seorang wakil, namun beliau tidak berucap.-AGENSI










