LONDON: Seorang Ahli Parlimen Britain dijatuhi hukuman penjara 10 minggu selepas mengaku bersalah menyerang seorang lelaki selepas berlaku pertengkaran di jalanan.
Mike Amesbury, 55, yang merupakan wakil rakyat bagi kawasan Runcorn dan Helsby dari Parti Buruh digantung keahlian susulan penangkapannya pada 26 Oktober tahun lalu.
Menurut pendakwaan di Mahkamah Majistret Chester, kejadian berlaku ketika Amesbury dalam perjalanan menuju ke perhentian teksi selepas menghadiri mesyuarat berkaitan keselamatan komuniti di bandar tersebut.
Mangsa, Paul Fellows, 45, dikatakan mengadu mengenai penutupan sebuah jambatan di kawasan itu sebelum tercetus pertengkaran.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Amesbury menumbuk muka Fellows hingga mangsa terjatuh ke jalan.
“Amesbury kemudian berdiri di atas mangsa dan menumbuknya sekurang-kurangnya lima kali sebelum orang awam meleraikan pergaduhan,” kata pihak pendakwaan.
Ketika kejadian, kedua-dua mereka berada di bawah pengaruh alkohol.
Hakim Timbalan Kanan Daerah, Tan Ikram menegaskan, tindakan Amesbury adalah serius dan hukuman penjara perlu dikenakan sebagai pengajaran kepada orang lain.
“Tingkah laku mabuk yang tidak bersebab di jalanan pada awal pagi terlalu serius untuk hanya dikenakan kerja komuniti, apatah lagi sekadar hukuman khidmat masyarakat,” katanya.
Peguam bela Amesbury, Richard Derby merayu agar anak guamnya tidak dipenjara dengan alasan tindakan itu di luar kebiasaannya dan reputasi beliau sudah tercemar, namun rayuan tersebut ditolak.
Amesbury kini berdepan kemungkinan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen sekiranya 10 peratus pengundinya menandatangani petisyen penarikan.
Beliau merupakan ahli Parlimen pertama yang dipenjarakan sejak 2019 selepas Fiona Onasanya dikenakan hukuman penjara tiga bulan kerana menipu polis mengenai saman laju. -AGENSI










