BEIRUT: Pihak berkuasa Lubnan mengesahkan lebih 25 orang ditahan susulan serangan ke atas konvoi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mencederakan dua anggota pasukan pengaman, termasuk timbalan komander.
Pegawai PBB dan Lubnan mengutuk serangan kelmarin, yang berlaku ketika penyokong Hezbollah menyekat jalan ke lapangan terbang antarabangsa tunggal negara itu untuk malam kedua berikutan keputusan kerajaan menghalang dua penerbangan Iran daripada mendarat.
Seorang wartawan AFP melaporkan, gas pemedih mata dilepaskan untuk menyuraikan orang ramai yang sekali lagi menghalang jalan ke lapangan terbang selepas kumpulan yang disokong Iran itu menggesa mereka untuk melakukan protes.
Menteri Dalam Negeri, Ahmad al-Hajjar memberitahu pemberita, lebih 25 orang telah ditangkap oleh perisikan tentera Lubnan, manakala seorang lagi ditahan oleh perkhidmatan keselamatan.
“Ini tidak bermakna mereka melakukan serangan tetapi siasatan akan menentukan siapa yang bertanggungjawab,” katanya.
Pasukan Interim PBB di Lebanon (UNIFIL) menuntut penyiasatan penuh dan segera selepas salah satu kenderaannya dibakar dalam serangan itu.
Serangan itu mencederakan Timbalan Komander Pasukan, Chok Bahadur Dhakal, yang sedang dalam perjalanan pulang ke Nepal selepas menyelesaikan misinya.
Timbalan jurucakap UNIFIL, Kandice Ardiel memaklumkan, seorang lagi tentera pengaman dari Nepal turut cedera.
Video yang tersebar di media sosial menunjukkan penunjuk perasaan dengan ada antaranya membawa bendera Hezbollah, menyerang seorang lelaki berpakaian tentera dan seorang lagi berpakaian awam berhampiran kenderaan UNIFIL yang dibakar.
Sehingga kini, masih tidak jelas siapa yang bertanggungjawab dalam serangan itu.
Direktorat Jeneral Penerbangan Awam Lubnan berkata, pihaknya terpaksa menjadualkan semula beberapa penerbangan, termasuk dari Iran, sehingga 18 Februari ini sebagai langkah keselamatan tambahan.
Tarikh itu bertepatan dengan tempoh akhir bagi Israel untuk menyelesaikan pengundurannya dari selatan Lubnan dan Hezbollah mengosongkan kedudukan tenteranya di rantau itu.– AFP










